PAU : PRU-15 atau tunggu dulu!

ADAKAH desakan bubar Parlimen, adakan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 akan bergema di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu ini? Jika ada desakan, adakah ia akan diterima, ‘dibahas’, dipertimbangkan atau tunggu dulu!

Walaupun tidak ada agenda khusus berkaitan PRU, jurucakap parti sedikit sebanyak dijangka menyentuh isu ini.

Jika PAU mahu PRU ditangguhkan dahulu dengan syarat tidak ‘diganggu gugat’ mungkinkah akan ada ada usul menyokong kepemimpinan Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sehingga penggal Parlimen sekarang berakhir?

Adakah PAU akan meletakkan Ismail Sabri dalam keadaan tertekan? Melewatkan PRU dikatakan mahu mengekalkan kuasa atau kedudukannya, percepatkan akan dikatakan ada unsur mahu menyelamatkan orang tertentu?

Asas kepada desakan mengadakan PRU adalah kemenangan selesa Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebelumnya PRN Melaka. Manakala soal ‘kestabilan’ kerajaan pula boleh dirunding.

Tetapi pada masa yang sama, desakan itu juga merujuk kepada kenyataan Pengerusi BN, Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mahu PRU-15 diadakan selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tamat pada Julai nanti.

Penggal Parlimen yang ada sekarang akan berakhir pada tahun depan manakala

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu, berakhir 31 Julai ini.

Jika soal MoU diambil kira dan tidak ‘disambung semula’ maka PRU mungkin perlu diadakan bagi membentuk sebuah kerajaan yang benar-benar stabil tanpa bergantung kepada belas ihsan mana-mana pihak.

Hakikatnya, khabar atau desakan mengenai PRU disegerakan sudah lama kedengaran berikutan kedudukan kerajaan yang tidak stabil, tetapi selepas MoU ditandatangani, tiada lagi ‘gangguan’ malahan ada jaminan sokongan.

Terdapat juga desakan supaya PRU tidak diadakan dalam situasi hari ini, ketika Covid-19 masih ‘mengganas’ kerana selain mengelakkan penularan di samping kemungkinan peratusan keluar mengundi juga rendah, seperti berlaku di PRN Johor.

Tetapi ada juga yang berkata peratusan keluar mengundi yang rendah lebih membantu BN. Kenapa? Benarkah?

Berdasarkan situasi hari ini, BN nampaknya lebih bersedia untuk menghadapi PRU. Kemenangan PRN Melaka dan Johor meletakkan BN sudah nampak yakin walaupun isu undi popular dijadikan modal untuk ‘menidakkan’ kemenangan BN.

Pelbagai analisis dibuat berikutan kekalahan pembangkang. Yang menariknya ada matematik mencampur undi dan andainya kiraan itu sebagai pertandingan satu lawan satu, BN-PH atau BN-PN, maka BN tidak mendapat sokongan majoriti.

Maka di sebalik meraikan kemenangan ini, BN khususnya UMNO perlu mengambil kira pelbagai faktor. Adakah memadai dengan melihat kemenangan PRN? Semua orang politik tahu PRU dan PRN adalah dua suasana berbeza.

Semasa PRN, seluruh jentera dari Perlis ke Sabah boleh digerakkan ke negeri berkenaan tetapi tiba PRU masing-masing jagalah kawasan sendiri. Apatah lagi apabila pemimpin parti pun terpaksa bergelut di kawasan ditandinginya..

Pembangkang pula tidak akan membiarkan kekalahan demi kekalahan berulang. Apakah ikhtiar pembangkang untuk memastikan undi popular memihak kepada mereka dengan menterjemah kepada memenangi kerusi melalui satu lawan satu?

Pada masa yang sama adakah sudah tertutup kerjasama UMNO dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN). Apa kesudahannya dengan MN?

Seperti kata Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir, kemenangan PRN Johor menambahkan kesedaran kepada parti untuk terus tawaduk dan bermuhasabah menilai setiap pencapaian dalam kerangka membetulkan kelemahan serta membina kecemerlangan.

Justeru banyak pertimbangan perlu diberi khususnya kesiapsiagaan jentera parti mendepani isu-isu yang menjadi modal pembangkang termasuk soal kluster mahkamah di samping melihat perkembangan Covid-19.

Related posts

Leave a Comment