Kes harian Brunei cecah 4,095

BERAKAS 28 Feb. – Gelombang ketiga pandemik Covid-19 menyaksikan Brunei Darussalam merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 4,095 kes hari ini, dengan jumlah kematian empat orang.

Semalam sebanyak 3,962 kes direkodkan dan pada 24 Februari lalu, jumlah tertinggi dilaporkan sebanyak 3,969 kes.

Bagaimanapun tiga kematian tidak dikaitkan dengan Covid-19 manakala satu lagi kes sedang dalam siasatan.

Dengan perkembangan ini jumlah keseluruhan kes yang direkodkan setakat ini di Brunei Darussalam adalah 63,542 dengan jumlah kematian pula kekal 65 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 597 kes adalah hasil ujian makmal RT-PCR yang dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu manakala 3,498 lagi hasil Ujian Pantas Antigen (ART).

Sebanyak lapan kes dalam kategori 4 yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi dilaporkan manakala enam lagi dalam kategori 5 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Kadar penggunaan katil di kesemua Pusat Pengasingan atau ‘bed occupancy rate’ pada masa ini ialah sebanyak 11.7 peratus.

Sebanyak 2,490 kes dilaporkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pesakit sembuh meningkat kepada 35,512 manakala 29,905 adalah kes aktif.

Related posts

Leave a Comment