Johor bangkit pilih kestabilan

BANGSA Johor akhirnya bangkit. Bukan bangkit menyahut seruan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Barisan Nasional (BN) tetapi bangkit membenamkan PH terutama komponennya PKR dan Amanah.

Begitu juga dengan Perikatan Nasional (PN) yang menggabungkan Bersatu, Pas dan Gerakan yang dikatakan ketika kempen memberi saingan sengit kepada BN tetapi hanya mampu menang tiga kerusi, dua Bersatu dan satu Pas.

Lebih malang bagi PKR yang bertanding atas logo sendiri seolah-olah ‘keluar dari PH’ dan hanya menang satu kerusi berbanding sekutunya DAP (10) dan Amanah (1) yang menggunakan simbol PH. Maknanya PH ada 12 kerusi.

Selak kembali keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Waktu itu PKR boleh berbangga kerana 36 kerusi yang dimenangi atas nama PH menggunakan logo PKR oleh semua calon PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Begitulah nasib PKR dan PH yang masih dalam keadaan tidak stabil selepas PRN Melaka dan Sarawak walaupun hanya sekadar menentukan logo untuk PRN, mungkin juga pada PRU akan datang.

Semasa PRN Melaka, komponen PH sebulat suara menggunakan logo PH, di Sarawak masing-masing guna logo sendiri dan di Johor, PKR ‘sendirian’, meninggalkan DAP dan Amanah menggunakan logo PH.

Jika penggunaan logo pun tidak keruan, apa lagi mahu mentadbir negeri dan negara? Benar apa ada pada logo tetapi pengundi akan tertanya-tanya apa sebenarnya maksud kesepakatan atau perpaduan dalam gabungan?

Justeru kemenangan BN nampaknya berasaskan kepada kehendak pengundi untuk melihat kestabilan negeri Johor. Pengalaman PRU14 membuatkan mereka perlu merebut peluang untuk melakukan perubahan. Tidak boleh tunggu lagi. Cukuplah.

Walaupun keputusan PRN ini dibuat oleh 1,426,573 orang atau hanya 54.92 peratus pengundi dan jika  jumlah undi pembangkang lebih besar daripada BN, sistem demokrasi negara telah memberi kemenangan kepada BN.

Cubaan pembangkang sama ada kelompok PH atau PN untuk membenamkan BN khususnya UMNO melalui isu rasuah dilihat gagal mempengaruhi pengundi.

Bukan sedikit gelaran buruk dilemparkan terhadap Najib Tun Razak – perompak, penyamun, perasuah. Tidak kurang juga serangan melalui media sosial dan perutusan kepada pengundi yang menghasut rakyat membenci organisasi.

Mereka ini ‘meratib’ di merata pentas termasuk dalam kalangan yang ada ilmu agama bergelar ustaz. Bagi mereka bukan sekadar individu tertentu dalam UMNO dihukum tetapi  seluruh organisasi itu sendiri diberi gambaran korup.

DAP pula menakutkan pengundi adakah Malaysia mahu menjadi negara pertama di dunia di mana kleptokrat kembali berkuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 atau ke-11?

Begitulah serangan terhadap pemimpin UMNO seolah-olah pemimpin itu yang bertanding. Ibarat seekor kerbau membawa lumpur habis semuanya terpalit.

Menteri Besar Kedah yang juga Pengarah Pilihan Raya pusat Pas, Muhammad Sanusi Md Nor dalam mesejnya berkata: “Saya mohon rakyat negeri Johor yang baik lagi budiman, hantar satu mesej yang jelas kepada Barisan Nasional dan Pakatan Harapan bahawa rakyat menolak parti yang mementingkan kuasa dan politik serta pemimpin yang terpalit dengan korupsi.”

Akhirnya PN termasuk Pas sudah mendapat mesej yang jelas!

Begitu juga mesej Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas : “Kepada adik-adik yang berumur 18, 19, 20 tahun, pastikan peluang anda untuk memangkah buat kali pertama tidak digunakan untuk memangkah penyamun dan perompak serta mereka yang telah menggadaikan masa depan negara.”

YB ustaz: Adakah calon-calon BN itu semuanya penyamun dan perompak?

Begitulah politik yang apabila bercakap ikut sedap mukut bertukar menjadi politaik!

Mesej Presiden Pas, Hadi Awang : “Duhai Bangsa Johor, Bersatulah! Bersatulah di bawah sebuah Perikatan rakyat menolak korupsi dan pemimpin yang tamak. Jangan kita ulangi kesilapan sebelum ini. Demi Bangsa Johor, kita tolak UMNO-BN,”

Begitu nada Hadi terhadap rakan Muafakat Nasional (dulu)

Pengundi mendengar mesej Hadi supaya tidak mengulangi kesilapan (PRU14). Kali ini pengundi memilih untuk sebuah kerajaan yang kukuh, ada majoriti dan tidak mudah bertukar tangan seperti terbukti selepas PRU lalu. Mereka tolak PN, pilih BN.

Pengundi juga tidak mengulangi kesilapan lalu apabila Pas tidak diberi laluan malahan kerusi tunggal DUN Bukit Pasir yang dimenangi atas tiket Pas turut hanyut bersama logo PN. Walaupun BN menang majoriti kecil, realitinya Pas kecundang. Apa pun Pas menang di DUN Maharani.

Begitulah berakhirnya drama atau opera yang kisahnya mahu mengajak rakyat takutkan bossku di PRN Johor dengan mengorbankan sebuah organisasi bernama UMNO dan BN. Ternyata rakyat tidak menghukum parti sebaliknya memilih kestabilan yang dijanjikan BN.

Related posts

Leave a Comment