Senjata biologi : PBB nafi dakwaan Rusia

NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan tiada bukti ditemui berhubung pelaksanaan program senjata biologi di Ukraine seperti yang didakwa Rusia.

Negara anggota menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘pembohongan’ dan ‘karut’, malah menggunakan sesi berkenaan untuk menuduh Rusia sengaja menyasar serta membunuh ratusan orang awam di Ukraine tetapi dinafikan Moscow.

Rusia melalui perwakilannya, Vassily Nebenzia, meminta Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat membincangkan dakwaan Moscow bahawa Ukraine menjalankan aktiviti makmal senjata biologi dengan sokongan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS).

AS bersama sekutunya turut menuduh Moscow menyebarkan dakwaan tanpa bukti itu sebagai suatu kemungkinan langkah awal Rusia ke arah melancarkan serangan biologi atau kimia.

Perwakilan Tinggi PBB bagi Hal Ehwal Pelucutan Senjata, Izumi Nakamitsu, memberitahu sidang Majlis Keselamatan bahawa PBB ‘tidak mengetahui’ sebarang program senjata biologi di Ukraine.

Sebelum ini Ukraine, Rusia dan AS bersama 180 negara lain telah menyertai sekatan antarabangsa terhadap senjata seumpama itu.

Bawah satu perjanjian pada 2005, Pentagon membantu beberapa makmal kesihatan awam Ukraine berhubung usaha meningkatkan keselamatan dalam penggunaan teknologi serta patogen berbahaya untuk tujuan penyelidikan.

Usaha berkenaan menerima sokongan daripada beberapa negara lain dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu perwakilan AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield, berkata Washington ‘amat bimbang’ akan kemungkinan tindakan Rusia meminta sesi terbabit diadakan sebagai ‘usaha memberikan gambaran palsu’ untuk Moscow pula menggunakan senjata kimia atau biologi di Ukraine.

“Rusia memiliki rekod membuat tuduhan palsu terhadap negara lain atas pelanggaran yang Russia sendiri lakukan.

“Kami sangat bimbang akan kemungkinan Rusia merancang untuk menggunakan agen kimia atau biologi ke atas rakyat Ukraine,” katanya tanpa memberi sebarang bukti pada mesyuarat itu berhubung dakwaan ancaman Moscow.

Related posts

Leave a Comment