Sejuta solat Jumaat selepas longgar SOP

MAKKAH: Lebih sejuta orang menunaikan solat Jumaat di Masjidilharam semalam selepas pihak berkuasa menarik balik beberapa peraturan yang dikenakan sebelum ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Baru-baru ini, berkuat kuasa 8 Mac, Kementerian Haji dan Umrah (MoHU) menarik balik langkah berjaga-jaga bagi memasuki Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Mulai tarikh itu, tiada lagi prosedur pemeriksaan status vaksinasi ke atas pengunjung dan jemaah ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

MoHU turut menghapuskan syarat mendaftarkan maklumat vaksinasi sebelum mendapatkan visa umrah bagi jemaah dari luar Arab, membatalkan syarat untuk mendapatkan permit bagi mendirikan solat di Masjidilharam dan menziarahi makam Nabi Muhammad (SAW).

Hanya syarat untuk mendapatkan permit umrah dan menziarahi Rawdah tetap dikekalkan seperti sebelum ini.

Pengunjung Haramain kini tidak lagi perlu menjaga jarak fizikal, namun masih diwajibkan untuk memakai pelitup separuh muka sepanjang berada di dalam kawasan masjid.

Selain itu, pihak kementerian turut memansuhkan syarat untuk mengemukakan keputusan negatif ujian PCR atau RTK (Ag), di samping tidak lagi mewajibkan kuarantin bagi para jemaah yang datang dari luar Arab Saudi.

(Foto Haramain Sharifain)

Related posts

Leave a Comment