Kanak-kanak masuk PICU meningkat

PUTRAJAYA 12 Mac – Kadar kemasukan kanak-kanak ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) akibat Covid-19 meningkat sejak Februari lalu, demikian menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menerusi hantaran melalui laman Facebook, KKM memaklumkan kadar kemasukan meningkat 94 peratus untuk semua kategori 3 hingga 5, dengan peningkatan ketara bagi kategori 4, iaitu 200 peratus, diikuti kategori 5 sebanyak 125 peratus.

Kanak-kanak menjadi golongan yang lebih berisiko mendapat jangkitan Covid-19 memandangkan mereka yang berusia 11 tahun dan ke bawah belum mendapat perlindungan sewajarnya berbanding kumpulan umur yang lebih tinggi yang sudah mendapat vaksinasi.

Justeru pengambilan vaksin Covid-19 amat penting bagi kalangan kanak-kanak yang berusia lima hingga 11 tahun, terutamanya apabila negara akan memulakan fasa peralihan ke endemik.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan ibu bapa untuk mendapatkan vaksin bagi anak-anak demi melindungi mereka daripada jangkitan teruk varian Omicron yang boleh membawa maut dan komplikasi ‘Multi System Inflammatory Syndrome in Children’ (MIS-C).

KKM sebelum ini mengesan 174 kes kanak-kanak bawah usia 18 tahun mengalami MIS-C akibat Covid-19 sejak Jun 2020 hingga Disember lalu.

MIS-C antara keadaan kritikal yang boleh berlaku akibat jangkitan Covid-19 yang menyebabkan keradangan organ dalaman, terutamanya jantung, paru-paru dan otak.

Related posts

Leave a Comment