Sultan Selangor Pengerusi MKI

KUALA LUMPUR 12 Mac –  Laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Raja-Raja adalah kurang tepat dan boleh mengelirukan.

Sebaliknya Mesyuarat Majlis Raja-Raja hanya membuat ketetapan bahawa seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) selama dua tahun secara bergilir-gilir.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,  Syed Danial Syed Ahmad, menjelaskan, pelantikan Pengerusi MKI sejak penubuhan majlis itu oleh Majlis Raja-Raja sendiri pada 1968, yang juga badan asal Jakim, sememangnya dibuat oleh Majlis Raja-Raja serta Perdana Menteri, ketika itu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj diperkenankan memenuhi peranan dan tanggungjawab sebagai Pengerusi MKI.

Syed Danial berkata, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 pada 9 dan 10 Mac lalu bagaimanapun membuat ketetapan bahawa seorang daripada Raja Pemerintah wajar memenuhi peranan dan tanggungjawab Pengerusi MKI selama dua tahun secara bergilir-gilir, manakala Perdana Menteri dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Ketetapan ini adalah selaras dengan perakuan yang dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja oleh Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan yang dipengerusikan oleh Allahyarham Tun Ahmad Sarji.

“Beliau berpandangan bahawa oleh kerana Islam terletak di bawah bidang kuasa dan budi bicara Raja-Raja Pemerintah, adalah lebih bertepatan untuk MKI dipengerusikan oleh seorang Raja Pemerintah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 10 Mac lalu, akhbar berkenaan yang memetik sumber, melaporkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja memutuskan untuk meletakkan Jakim yang juga agensi Jabatan Perdana Menteri (JPM) di bawah MRR, selain Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilantik sebagai Pengerusi MKI, manakala Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Pengerusi.

Syed Danial berkata, perakuan Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan dirunding oleh Raja-Raja dengan kerajaan dan mencapai persefahaman dan kata sepakat.

“Susulan perkembangan itu, mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 berkenan memilih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Pengerusi MKI untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Penubuhan Jakim bermula dengan tertubuhnya MKI pada 1968 di bawah Majlis Raja-Raja sebelum menjadi Bahagian Ugama di bawah JPM pada 1974. Bahagian itu kemudian distruktur semula menjadi Bahagian Hal Ehwal Islam (BAHEIS) JPM pada 1984 sebelum ia sekali lagi disusun semula dan dinaik taraf menjadi JAKIM pada 1997.

Related posts

Leave a Comment