BANGKOK 11 Mac – Thailand merekodkan 63 lagi kematian dan 24,792 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah keseluruhan 23,512 orang meninggal dunia dan 3,136,649 kes jangkitan.
Menurut Kementerian Kesihatan Awam, angka hari ini menunjukkan pengurangan kes meninggal dunia berbanding 74 semalam dan peningkatan kes berbanding 22,984 semalam.
Jumlah kes baharu itu bagaimanapun tidak termasuk 21,626 kes positif melalui ujian antigen dalam tempoh 24 jam yang jika digabungkan membawa kepada 46,418 kes.
Terdapat 24,554 kes baharu dalam kalangan penduduk awam, 158 dalam kalangan penghuni penjara dan 80 kes import.
Bangkok merekodkan kes tertinggi iaitu 3,171, diikuti Chon Buri 1,386, Nakhon Si Thammarat 1, 324, Nonthaburi 971, Samut Sakhon 829, Samut Prakan 813, Pathum Thani 645, Ayutthaya 617, Nakhon Ratchasima 532 dan Nakhon Pathom 519.
Manakala 80 kes import pula melibatkan 28 negara termasuk 16 dari Arab Saudi, Kemboja (8), enam kes masing-masing dari United Kingdom dan Rusia serta empat kes dari Perancis.
Semalam, Khamis, sebanyak 222,998 orang mendapatkan rawatan Covid-19 – 63,553 di hospital termasuk 1,255 kritikal dan 415 bergantung kepada ventilator.
Dalam tempoh 24 jam juga, sebanyak 22,065 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital.
Sejak pandemik bermula awal tahun 2020, terdapat 3,136,649 kes Covid-19 termasuk 913,214 tahun ini di mana 2,890,076 sembuh manakala jumlah kematian pula 23,575 sejak permulaan pandemik termasuk 1,877 tahun ini.
