Kluster Citrawarna catat 21 kes

KUCHING 9 Mac –  Sarawak mencatatkan satu lagi kluster Covid-19, melibatkan Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 dengan 21 individu didapati positif termasuk kes indeks.

Kluster komuniti ini melibatkan kes-kes yang terlibat secara langsung dengan program berkenaan yang berlangsung selama empat hari bermula 24 Februari  di Tebingan Sungai Kuching, dengan anggaran pengunjung seramai 50,000 orang.

Laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) mendedahkan seramai 59 individu telah disaring dan selebihnya 32 individu negatif sementara enam masih menunggu keputusan

Kes indeks (Kes Ke-259147) bagi kluster ini merupakan seorang lelaki berusia 45 tahun, seorang warga tempatan, yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan individu bergejala pada 27 Februari di sebuah hospital perubatan swasta di Kuching.

Jangkitan merebak dipercayai berpunca daripada pergaulan dan kontak rapat dalam kalangan mereka semasa menghadiri program tersebut dan telah merebak sehingga ke generasi jangkitan kedua.

Menurut JPBNS,  semua kes positif sedang mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak dan PKRC di Kuching.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa terdapat seramai 24 kes positif lain yang telah dilaporkan (bukan dari kluster ini) turut mempunyai sejarah pergerakan menghadiri Program Citrawarna tersebut.

Sehubungan dengan itu, individu yang mempunyai sejarah menghadiri Program Citrawarna Keluarga Malaysia 2022 itu dinasihatkan untuk membuat pemantauan kendiri dan membuat saringan kendiri sekiranya mengalami sebarang tanda dan gejala.

“Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak menghadiri aktiviti perkumpulan yang melibatkan ramai peserta atau hadirin di mana SOP sukar dipatuhi, terutamanya jika mempunyai gejala atau telah dikesan positif,” katanya.

Sarawak hari ini mencatatkan sejumlah 1,727 kes positif Covid-19 dengan 1,714 kes tergolong dalam kategori klinikal 1 dan 2 dan 13 kes kategori 4 dan 5 meningkatkan angka keseluruhan kepada 272,142 kes.

Related posts

Leave a Comment