Endemik: Jadi benteng bukan penyebar

FASA ‘Peralihan ke Endemik’ mulai 1 April 2022. Apa ceritanya? Mudah sahaja. Banyak kelonggaran sudah diberi, begitu juga prosedur operasi standard (SOP) yang ‘mengikat’ kita selama dua tahun dimansuhkan satu persatu.

Lebih mudah untuk difahami, di restoran mamak anda boleh lepak dan makan 24 jam ; di masjid dan surau, sebelum solat imam dah boleh kata lurus dan rapatkan saf; boleh kenduri kahwin sakan hingga penuh satu dewan.

Fasa peralihan ini juga memberi kebebasan untuk bergerak sana ke sini ke sana ke sini bukan setakat negeri tetapi sehingga merentas sempadan.

Di kebanyakan negara juga sudah melonggarkan atau menghapuskan kebanyakan SOP kerana terpaksa menerima realiti kehidupan perlu diteruskan dalam suasana endemik walaupun kes jangkitan turun naik.

Selama ini pun, SOP sentiasa berubah, ada sahaja yang diperketatkan, dilonggarkan atau dimansuhkan. Ikut situasi. Contohnya di Arab Saudi pernah tahun lalu saf dirapatkan tetapi dijarak semula ketika Omicron muncul dan kini rapat semula.

Omicron masih belum pergi. Malahan ada kebimbangan varian lain pula akan menyusul. Kita harus waspada. Tiada pengakhiran dalam masa yang singkat. Justeru kita terpaksa menghadapinya.

Namun apakah kita mahu ‘meraikan kebebasan’ yang diberi itu dengan melupakan SOP yang ‘mengikat’ kita selama dua tahun ini?

Hakikatnya ada SOP yang sedikit sebanyak mengajar dan mendidik seperti menjaga kebersihan diri, tidak berada lama di restoran malahan tidak merokok, beratur atau tidak berebut ketika urusan di kaunter dan pengangkutan awam.

Justeru walaupun sudah bebas, beberapa SOP sepatutnya menjadi amalan harian bagi memastikan penjagaan kesihatan seterusnya mengelakkan penularan. Jadilah benteng menahan kemaraan Covid-19 bukan menjadi penyebar.

Walaupun semasa penguatkuasaan SOP, masih ada yang ingkar tetapi tanggungjawab yang harus dipikul sekarang adalah kita menjaga keluarga Malaysia bukan sekadar kita jaga kita atau kita jaga rakan kita atau jaga jiran kita.

Setiap orang bertanggungjawab untuk mengawal wabak ini semasa memasuki fasa peralihan ini.

Dengan berbekalkan jumlah vaksinasi lengkap dan dos penggalak serta vaksinasi kanak-kanak, ia bukan ‘lesen besar’ untuk bebas sebebasnya. Setiap orang boleh bergerak bebas tetapi mereka masih berperanan melindungi diri daripada jangkitan.

Lebih-lebih lagi dalam komuniti kita ada golongan rentan, berisiko tinggi serta mempunyai komplikasi serius jika terdedah kepada Covid-19. Justeru sangat wajar untuk semua rakyat Malaysia mengambil berat kesihatan masing-masing dan mengamalkan cara hidup yang sihat.

Paling mudah adalah untuk mengawal diri tidak mendedahkan diri dalam kumpulan ramai sekiranya bergejala, bukan sekadar di surau, masjid, majlis kahwin , sekolah, pejabat, pusat membeli belah. Disiplinkan diri bagi melawan Covid-19.

Sama ada tiada vaksin, satu dos, dua dos atau sudah ada penggalak, setiap orang perlu lebih berhati-hati berada di khalayak sekiranya batuk, selesema atau demam. Kehadiran anda dalam situasi ini pasti menimbulkan keresahan orang lain.

Apatah lagi kehadiran yang bergejala di tempat tertutup yang menyukarkan pergerakan orang lain seperti di dalam lif, pengangkutan awam dan sebagainya.

Semua orang perlu bertanggungjawab untuk menjaga diri,  masyarakat dan keluarga Malaysia. Ambil langkah selamat untuk melindungi diri dan orang lain, selebihnya kita berserah kepada Allah SWT. Sekurang-kurangnya berikhtiar dan berusaha untuk tidak menjadi penyebar Covid-19.

Related posts

Leave a Comment