Thailand sasar 1 Julai isytihar endemik

BANGKOK 9 Mac – Thailand berharap dapat mengisytiharkan Covid-19 sebagai endemik pada 1 Julai ini berdasarkan jangkaan jumlah kes koronavirus baharu dan kematian akan menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul berkata Jawatankuasa Penyakit Berjangkit Kebangsaan bercadang mengisytiharkan endemik, seperti di negara Eropah, untuk memudahkan pelancongan dan pemulihan ekonomi.

Bagi tujuan itu, dalam tempoh empat bulan ini, Thailand perlu berusaha membendung jangkitan baharu dan kematian, dan menggunakan sumber yang mencukupi untuk rawatan, termasuk ubat-ubatan.

Di samping itu, orang awam juga pada masa yang sama perlu mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah jangkitan, termasuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 dan suntikan penggalak.

Bagi mencapai matlamat itu juga, mulai Sabtu ini, hingga awal bulan depan, Thailand akan cuba mengehadkan bilangan kes harian baharu pada atau di bawah paras semasa.

Dalam pada itu, kerajaan tidak akan menyekat perjalanan antara wilayah semasa perayaan Songkran (Tahun Baharu Thai) pada pertengahan bulan depan, tetapi mengingatkan orang ramai mengambil langkah untuk melindungi diri mereka dan mengelakkan tempat yang sesak sepanjang tempoh itu.

Related posts

Leave a Comment