KUALA LUMPUR 3 Julai – Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan menegaskan semua lapangan terbang di negara ini kekal milik kerajaan, manakala Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berperanan sebagai operator kemudahan berkenaan.
Katanya, pada masa yang sama kerajaan juga akan terus memegang saham khas dalam MAHB dan berdasarkan hak itu kerajaan yang mempunyai kuasa melantik pengerusi dan pengarah urusan MAHB yang kedua-duanya warga tempatan.
Justeru beliau menyangkal dakwaan bahawa pihak asing akan mencampuri urusan atau mengambil alih lapangan terbang negara sebaliknya
“Aspek keselamatan tetap menjadi tanggungjawab agensi kerajaan, termasuk kawalan keluar-masuk warga asing ke negara ini.
Selari hasrat perjanjian konsortium ini, pengurusan MAHB tidak sama sekali akan diserahkan kepada rakan kongsi konsortium asing. Justeru, tiada asas untuk mendakwa warga asing akan ambil alih pengurusan MAHB,” katanya ketika sesi penerangan di Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah menegaskan, cadangan mengambil alih MAHB melalui penubuhan konsortium diterajui Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan membeli keseluruhan 59 peratus saham dimiliki pelbagai pelabur.
Ini bermakna Khazanah dan KWSP tidak menjual saham MAHB, sebaliknya mengukuhkan pegangan mereka dengan majoriti lebih besar, daripada 41 peratus kepada 70 peratus.
Selain itu, katanya, rakan konsortium asing iaitu Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) hanya akan memegang minoriti saham MAHB, iaitu sebanyak 30 peratus.
Menerusi penubuhan konsortium itu, pembaharuan lapangan terbang negara dengan keperluan pelaburan bernilai RM10 bilion untuk tempoh lima tahun dapat dilaksanakan segera, mengambil kira kedudukan kewangan kukuh ahlinya.
GIP ialah pelabur infrastruktur terkemuka yang menguruskan aset bernilai AS$112 bilion bagi pihak pelaburnya, merangkumi kira-kira 500 institusi pelaburan di seluruh dunia.
Katanya, hanya GIP dilihat menepati syarat ditetapkan iaitu sedia untuk melabur, menjadi minoriti, menyumbang kepakaran dan melepaskan pegangan dalam jangka yang sesuai.
“Kepakaran, kejayaan dan pengalaman mereka mengoptimumkan tahap kecekapan di lapangan terbang diperlukan bagi meningkatkan daya saing serta kecekapan lapangan terbang negara kita,” katanya.
Mengenai matlamat pembaharuan MAHB, beliau berkata, ia bagi memastikan lapangan terbang negara bertaraf global dan dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa, selain menyasarkan isu berlarutan di kemudahan berkenaan dapat diatasi segera.
“Pengalaman sebagai penumpang sepatutnya tidak mengundang rasa stress dan keselesaan diidamkan akan menjadi kenyataan, bukan sahaja di lapangan terbang antarabangsa utama seperti KLIA, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu tetapi juga di lapangan terbang domestik lain seperti Tawau, Miri atau Kuala Terengganu.
“Kita ingin beri pengalaman terbaik kepada penumpang. Proses remeh di lapangan terbang perlu dikurangkan, barulah penumpang akan bertenang dan dapat menikmati lebih masa untuk membeli-belah atau makan-minum dan meluangkan masa riadah di lapangan terbang.
“Kita juga pernah melihat lapangan terbang di bandar lain yang lengkap dengan aktiviti interaktif dan rekreasi untuk ahli keluarga. Teknologi canggih serba moden perlu segera diguna pakai bagi memudah cara urusan di lapangan terbang,” katanya.
Amir Hamzah berkata, Malaysia akan ketinggalan di rantau ASEAN, jika perubahan tidak dilakukan ke atas kemudahan lapangan terbang di negara ini, selain menjelaskan kecekapan sektor penerbangan penting bagi menyokong pembangunan ekonomi.
Beliau berkata, tahap ‘connectivity’ (ketersambungan) lapangan terbang dalam rangkaian antarabangsa serta kecekapan urusan di lapangan terbang, antara penentu pertumbuhan perdagangan dan pelancongan.
“Perubahan perlu dilakukan sekarang, terutama apabila kini berlaku perubahan rangkaian bekalan global susulan isu geopolitik dunia seperti konflik Amerika Syarikat-China.
“Syarikat antarabangsa giat mencari alternatif untuk melabur dan kedudukan negara ASEAN dilihat strategik,” katanya.
Nnnn
