3 bilion menanti suntikan pertama

NEW YORK: Pandemik Covid-19 belum berakhir dan mungkin berlarutan lagi berikutan pengagihan vaksin yang ‘tidak sama rata’, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres hari ini.

Dalam satu kenyataan memperingati ulang tahun kedua kesihatan global beliau berkata, sehingga kini 446 juta kes dengan enam juta kematian dilaporkan.

“Ia adalah satu angka kematian yang paling tragis yang menjejaskan kesihatan ramai selain jumlah yang tidak terkira mereka yang bergelut dengan kesihatan mental yang semakin teruk,” katanya.

Bagaimanapun, PBB berterima kasih di atas langkah kesihatan awam yang tidak pernah berlaku sebelum ini di samping pembangunan dan pengagihan vaksin yang sangat pesat, dengan kebanyakan bahagian dunia berjaya mengawal pandemik ini.

Namun, Guterres menegaskan, pengagihan vaksin adalah kekal tidak sama rata.

Katanya, walaupun 1.5 bilion dos vaksin dihasilkan setiap bulan, masih ada tiga bilion orang menunggu suntikan pertama mereka.

Kegagalan ini katanya adalah akibat langsung daripada keputusan dasar dan belanjawan yang mengutamakan kesihatan orang di negara kaya berbanding kesihatan orang di negara miskin.

Katanya lagi, pemulihan dua peringkat itu adalah ‘resipi untuk lebih banyak variasi, lebih banyak penutupan dan lebih banyak kesedihan dan pengorbanan di setiap negara.

Guterres menggesa dunia untuk ‘mendedikasikan semangat bagi menamatkan pandemik ini serta mengakhiri peristiwa menyedihkan dalam sejarah manusia, sekali dan untuk selamanya.

Related posts

Leave a Comment