Tidak boleh tidur malam lihat sambutan kepada PN

KUALA LUMPUR 9 Julai –  Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin yakin gelombang kebangkitan rakyat ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berterusan dan berulang pada enam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Katanya, peningkatan sokongan dari sehari ke sehari sekali gus menafikan dakwaan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bahawa sokongan rakyat kepada PN semakin tepu.

“Pada saya kenyataan sedemikian lahir daripada ketakutan melihat gelombang sokongan rakyat terutama dalam kalangan orang muda kepada PN semakin kuat.

“Saya percaya ada pihak yang tidak boleh tidur malam melihat kepada perkembangan ini yang jelas menunjukkan rakyat tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan dalam mentadbir negara,” katanya melalui Facebooknya.

Katanya, setelah hampir lapan bulan menjadi kerajaan, rakyat sudah putus harapan melihat kegagalan demi kegagalan kerajaan campuran PH-BN.

Muhyiddin merujuk sambutan yang diberikan ketika bersama-sama kepemimpinan tertinggi PN dan rakyat negeri Terengganu hadir pada Ceramah Perdana Jelajah Mega PN Best dan pelancaran Himpunan Teguh Pertahan 100K malam tadi.

“Saya terharu melihat lautan manusia membanjiri Dataran Jambatan Angkat yang menjadi ikon pelancongan terbaharu negeri Terengganu.

“Ini belum lagi dicampur dengan tontonan secara langsung orang ramai menerusi pelbagai platform media sosial yang saya pasti begitu besar jumlahnya,” katanya yang menyifatkan sambutan luar biasa itu membuktikan PN sudah bersedia memasuki gelanggang PRN.

Justeru Muhyiddin menyeru seluruh rakyat Terengganu dan lima negeri lagi menggunakan PRN untuk memberi mesej yang jelas kepada kerajaan sekarang bahawa kerajaan PH-BN adalah sebuah kerajaan yang gagal.

Perdana Menteri kelapan itu berkata, rakyat pelbagai peringkat berhadapan dengan kesempitan dan kesusahan dalam menjalani kehidupan seharian kerana ekonomi negara seperti tidak ada hala tuju.

Menurut Muhyiddin, kos sara hidup terus meningkat, harga barang keperluan harian tidak turun-turun malah terus naik, banyak dasar yang dilaksanakan tidak konsisten dan kerap kali ‘flip-flop’ sehingga pelabur keliru dan hilang keyakinan.

“Saya dengan rendah diri menyeru agar kita semua dapat terus bekerja kuat memperhebatkan jentera di kawasan masing-masing sepanjang tempoh berkempen ini.

“Jika kita terus beristiqamah, bersungguh-sungguh mendekati dan menyantuni rakyat dan bertawakal, kemenangan akan menjadi milik kita semua, insya-Allah,” katanya.

Related posts

Leave a Comment