Satu SOP sembilan garis panduan

KUALA LUMPUR 9 Mac – Kerajaan menetapkan satu prosedur operasi standard (SOP) dan sembilan garis panduan yang perlu dipatuhi dan sebagai panduan kepada rakyat ketika negara memasuki fasa ‘Peralihan Ke Endemik’  1 April ini.

Pengerusi Menteri Kuartet Covid-19,Hishammuddin Hussein berkata, SOP dan garis panduan itu adalah salah satu daripada tujuh tonggak yang paling penting dalam usaha negara menuju kehidupan yang hampir normal.

Pada asasnya, SOP Fasa Peralihan Endemik itu sudah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang digunakan sebelum ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata walaupun hanya ada satu SOP, kerajaan masih menguatkuasakan SOP berkenaan di bawah Akta 342 di mana terdapat 10 keperluan yang perlu dipatuhi.

Beliau percaya setiap lapisan masyarakat boleh terus melaksanakannya dengan sebaik mungkin kerana kesemua 10 keperluan ini sudah biasa diamalkan oleh orang ramai dalam PPNi.

Sepuluh keperluan dalam SOP itu ialah:

i. Memakai pelitup muka ketika di tempat awam.

ii. Waktu operasi mengikut lesen/permit.

iii. Menjaga kebersihan tangan.

iv. Melakukan ujian pengesanan Covid-19 berdasarkan National Testing Strategy.

v. Menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

vi. Menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran kemasukan.

vii. Memastikan penjarakan fizikal satu meter.

viii. Memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik.

ix. Memastikan kebersihan premis.

x. Mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

Mengenai sembilan garis panduan berkenaan, Hishammuddin berkata ia dibangunkan bagi membantu rakyat membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti harian demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling.

Bagaimanapun sembilan garis panduan ini tidak akan dikuatkuasakan, sebaliknya ia akan menjadi garis panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi supaya rakyat dapat kekal berwaspada dengan risiko jangkitan Covid-19 apabila melakukan aktiviti tertentu.

Sembilan garis panduan itu merangkumi:

i. Pengangkutan dan perjalanan

ii. Pendidikan dan penjagaan

iii. Aktiviti peruncitan, makanan dan minuman

iv. Ruang kerja tertutup

v. Kawasan kerja terbuka

vi. Acara, majlis, hiburan dan tarikan pelancong

vii. Hotel dan penginapan tetamu

viii. Keagamaan, perkahwinan dan pengebumian

ix. Aktiviti dan fasiliti Sukan, rekreasi & riadah.

Bagi setiap garis panduan ini, terdapat dua perincian iaitu cara penilaian risiko penularan Covid-19, gejala dan cara mengamalkan SOP yang betul. Ia bagi memudahkan masyarakat memahami dengan lebih lanjut berkaitan SOP.

Beliau berkata pihaknya akan membangunkan sebuah laman sesawang berhubung perkara itu bagi membantu masyarakat membuat persiapan sebelum fasa berkenaan bermula.Laman itu dijangka dapat diakses dua minggu sebelum 1 April.

Related posts

Leave a Comment