Rakyat Sabah disaran dapat penggalak

TAWAU 7 Mac – Rakyat Sabah perlu mendapatkan vaksinasi Covid-19 dos penggalak sebelum sempadan negara dibuka kerana kemungkinan terdedah kepada Covid-19 dengan kemasukan rakyat Filipina dan Indonesia.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata kebimbangan itu berdasarkan status vaksinasi di kawasan berdekatan sempadan Sabah di kedua-dua negara terbabit yang masih agak rendah.

Katanya, walaupun kerajaan akan menetapkan prosedur yang ketat untuk masuk, tetapi ia masih dianggap berisiko kerana mereka yang datang tidak diketahui status vaksinasi mereka.

Khairy berkata, Kementerian Kesihatan sudah menjalankan pelbagai kaedah bagi menggalakkan rakyat di negeri ini mendapatkan dos penggalak dengan mudah.

“Namun, masih ramai lagi yang enggan mengambil dos penggalak walaupun PPV telah dibuka hampir di setiap kawasan,” katanya ketika merasmikan Program “Mass Cataract Surgery Initiative” (MCSI) di sini hari ini.

Katanya, program kesedaran juga diadakan terutama kepada golongan warga emas supaya segera mengambil dos penggalak, memandangkan mereka sangat berisiko jika dijangkiti wabak.

“Saya merayu sesiapa yang mempunyai ibu bapa berumur 60 tahun ke atas supaya bawa mereka mengambil suntikan dos penggalak kerana jika dijangkiti Covid-19, ia tidak boleh dianggap selesema biasa.

“Begitu juga dengan kanak-kanak yang belum diberikan suntikan vaksin supaya segera mendapatkannya kerana sekiranya mereka dijangkiti Covid-19 boleh membawa kemudaratan masa panjang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment