Fasa endemik Thailand dijangka Julai

BANGKOK 7 Mac – Sepanjang bulan lalu (1 hingga 27 Februari) seramai 193,033 pelancong memasuki Thailand dengan majoritinya atau 128,116 pelawat memasuki melalui ‘uji dan pergi’ atau skim pengecualian kuarantin.

Sebanyak 56,218 masuk melalui skim Sandbox, dan 8,699 masuk dengan kuarantin alternatif – bermakna orang yang tidak divaksinasi atau tidak divaksinasi sepenuhnya.

Menurut Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), majoriti pelawat adalah dari 10 negara teratas ini (pada 1-24 Januari 2022) iaitu, Rusia, Jerman, United Kingdom, Perancis, Singapura, Amerika Syarikat, Emiriyah Arab Bersatu, Australia dan Israel.

Menurut CCSA, jangkitan dan kluster baharu masih berlaku dari restoran, pasar, sekolah, pejabat, kilang, dan dari ritual keagamaan serta dari dalam keluarga.

Di samping itu kajian yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Awam, situasi pandemik di Thailand telah stabil dan terus bertambah baik berikutan kadar vaksinasi yang tinggi dan sistem penjagaan kesihatan awam yang baik.

Justeru Thailand mungkin memasuki fasa endemik seawal Julai tahun ini.

Timbalan jurucakap Kementerian Luar, Natanu Nopaku, berkata kajian yang dijalankan Kementerian Kesihatan Awam mendapati peralihan kepada fasa endemik itu adalah kesan daripada kejayaan kerajaan dalam menangani pandemik.

“Kajian itu menyatakan kepimpinan, pengurusan, sumber manusia, perubatan, kemudahan perubatan dan bekalan vaksin yang baik dan paling penting penyertaan serta dedikasi daripada semua sektor dan masyarakat.

“Status sepatutnya berubah daripada pandemik kepada endemik menjelang Julai tahun ini,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata negara seperti Sepanyol, India dan Amerika Syarikat juga bersiap sedia untuk beralih kepada fasa endemik.

Related posts

Leave a Comment