Penceramah PRN boleh buka pelitup

JOHOR BAHRU 7 Mac – Penceramah yang berkempen ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanya dibenarkan membuka pelitup muka ketika menyampaikan ceramah.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penceramah hendaklah terus memakai semula pelitup muka tanpa kelengahan selepas tamat menyampaikan ceramah.

Sementara semua yang hadir ke program ceramah, syarahan atau kempen hendaklah sentiasa memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara individu hendaklah sentiasa dikekalkan.

Menurut SPR, pindaan terkini itu dilakukan berdasarkan cadangan dan tambahan daripada Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pindaan dan tambahan kepada SOP ini juga termasuk semua individu yang hadir mesyuarat diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa dan menjaga penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Aktiviti bersalaman adalah dilarang. Pindaan pada SOP Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN Johor ke-15 berkuat kuasa serta-merta.

SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya serta garis panduan pencegahan COVID-19 bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya dan tidak menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

Makluman berkenaan pindaan dan tambahan SOP Pencegahan COVID-19 boleh dirujuk portal www.spr.gov.my,

Related posts

Leave a Comment