MSC sudah ada, ASTAF tolak PSM

KUALA LUMPUR 7 Mac – Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) menolak permohonan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) untuk diterima semula sebagai gabungan badan induk Asia itu.

Dalam kenyataannya, Setiausaha Agung ASTAF Boonchai Lorhpipat berkata keputusan menyingkirkan PSM pada 20 Mei tahun lepas kekal muktamad berdasarkan keputusan terbaharu pada Jumaat lepas.

Surat makluman telah dihantar kepada Setiausaha Agung PSM Abidullah Salleh, pada Sabtu, menjawab surat permohonan yang dihantar pada 23 Februari lepas.

Pada Sabtu, 5 Mac ASTAF mengesahkan Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) disahkan sebagai ahli baharu persekutuan itu.

Kemelut sepak takraw negara bermula apabila ASTAF menyingkirkan PSM pada 20 Mei 2021 berikutan tindakan presidennya ketika itu Ahmad Ismail, atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 24 Februari tahun lepas.

Tindakan itu melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai 14 Mac 2008.

Ahmad, yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ kemudian melepaskan jawatannya dalam PSM pada Jun lepas, diikuti beberapa usaha oleh persatuan itu bertujuan mendapatkan semula keahliannya dalam ASTAF.

Susulan kemelut yang melanda PSM, enam bekas ahli gabungan badan induk itu memutuskan untuk menubuhkan entiti baharu dikenali sebagai MSC dan mendapat kelulusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS), bulan lalu.

Enam ahli gabungan yang menjadi tonggak penubuhan MSC adalah Persatuan Sepak Takraw Selangor; Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya; Persatuan Sepak Takraw Sarawak; Persatuan Sepak Takraw Perlis; Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah; dan Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Labuan.

Related posts

Leave a Comment