Kes harian tertinggi 33,406

PUTRAJAYA 6 Mac – Malaysia sekali lagi merekodkan angka harian tertinggi jangkitan Covid-19, apabila 33,406 kes baharu dilaporkan, semalam berbanding 32,209 kelmarin dan 32,467 pada 3 Mac.

Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia meliputi 33,064 penularan tempatan dan 342 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, pesakit dalam Kategori 2 mencatat bilangan tertinggi membabitkan 20,035 kes atau 59.97 peratus.

Sebanyak 13,157 kes (39.39 peratus) pula membabitkan pesakit dalam Kategori 1, Kategori 3 (92), Kategori 4 (69) dan Kategori 5 (53),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 67 lagi kematian akibat Covid-19 direkodkan pada Sabtu, dengan 23 kematian berlaku sebelum sempat mendapat rawatan di hospital.

Negeri yang mencatatkan kematian tertinggi ialah Selangor (14) diikuti Kedah (12), Johor (10), Perak (8), Sabah (7), Melaka (4), Perlis (4), Kelantan (3), Pahang ( 3), Negeri Sembilan (1) dan Pulau Pinang (1). Sepanjang minggu lalu, purata 77 orang dilaporkan meninggal dunia akibat Covid-19.

Sejak Mac 2020, sebanyak 33,173 kematian dilaporkan akibat COVID-19.

Sementara itu, seramai 8,715 pesakit Covid-19 dirawat di hospital dengan 371 daripadanya di tempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Related posts

Leave a Comment