(Berdasarkan tulisan Selak 29 Jun 2015)
Petikan : Jangan biarkan pahala ibadah Ramadan ‘dikutip’ orang
1 – Sudah sewajarnya, kita menghentikan sementara atau belajar mematikan terus tindak tanduk kita yang ghairah menyebarkan perkara-perkara yang tidak betul. Hentikan tabiat suka mengkritik, mengumpat, mengadu domba, menghina atau memperkecilkan orang lain tanpa usul periksa melalui media sosial seperti WhatsApp dan sebagainya. Dalam satu tazkirah yang didengar kelmarin, imam mengingatkan supaya jangan di akhirat nanti, orang lain mengutip pahala kita. Di dunia, seseorang itu begitu tekun beribadah termasuk pada bulan Ramadan tetapi akhirnya di akhirat, bekalan yang hendak dibawa itu habis ‘dikutip’ orang disebabkan semasa di dunia, orang yang beribadah itu pada masa yang sama suka mengata, mengumpat dan sebagainya sehingga mengurangkan pahala yang diperoleh. Bak kata orang, menang sorak kampung tergadai. Tanam padi tapi lalang yang tumbuh.
2 – Tidak dinafikan, kebanyakan kita begitu ghairah menyebarkan pelbagai berita yang berunsur syak wasangka, berunsur fitnah dan dakwaan melalui media sosial. Dalam era teknologi maklumat hari ini, mulut bukan lagi memainkan peranan berkata-kata mendedahkan keburukan orang lain. Mulut tidak lagi mengumpat, mengeji, memaki hamun dan menghina orang sesuka hati sebaliknya peranan itu telah di-ambil alih oleh jari jemari yang begitu lancar merangka kata-kata melalui media sosial yang kemudiannya disebarkan begitu pantas. Jari jemari itu juga yang memuat naik pelbagai kebaikan dan keburukan untuk disebarkan dalam tempoh sesaat melalui aplikasi seperti Facebook dan WhatsApp. Memang mulut tidak lagi berkata-kata tetapi peranan itu sudah diambil alih oleh jari-jemari.
3 – Peranan jari jemari ini lebih bahaya kerana ia mampu menyebar luaskan apa yang ditulis. Kesannya amat besar kepada masyarakat yang menerima bulat-bulat apa yang disebarkan. Dalam bidang ekonomi misalnya, sebaran mengenai halal atau haram sesuatu barangan boleh memusnahkan sesuatu perniagaan. Baru-baru ini terdapat sebaran mengatakan ada kuih-muih buatan rakyat tempatan dikatakan diimport dari negara luar yang labelnya dibuang. Ada yang mendakwa, kuih-muih itu buatan tempatan dan sebaran maklumat palsu itu bertujuan memusnahkan perniagaan orang Melayu. Malangnya, sikap orang kita yang begitu cepat bertindak ‘menyalin dan menyebarkannya’ tanpa usul periksa sehingga menimbulkan keresahan orang ramai. Situasi ini sering berlaku lebih-lebih lagi apa yang ditulis itu tidak ‘dipedulikan’ undang-undang. Tidak ada tindakan tegas.
4 – Ambillah semangat Ramadan ini untuk memperbaiki diri mengelakkan diri daripada terperangkap dalam dosa yang tidak disedari. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Semua amalan anak Adam adalah untuknya kecuali puasa kerana sesungguhnya puasa adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya, puasa adalah perisai, jika suatu hari salah seorang dari kamu berpuasa, maka janganlah ia berbuat buruk (berkata keji) dan mengumpat, jika ada seseorang yang menghinanya atau mengajaknya berkelahi, maka katakanlah, sesungguhnya aku sedang berpuasa. Demi dzat yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, bau mulut orang yang sedang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada aroma miski (kasturi) dan bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan yang dengan keduanya ia akan bergembira, iaitu jika ia berbuka puasa maka ia akan gembira dan jika ia bertemu Rabbnya, ia akan gembira dengan sebab puasanya’’.
Ingatlah bahawa puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, sesungguhnya puasa adalah menahan diri dari perkataan dan perbuatan yang ‘kotor’. Jangan sekadar menang lapar dan dahaga.