Arab Saudi rapatkan kembali saf

RIYADH 6 Mac – Arab Saudi membatalkan hampir kesemua sekatan Covid-19, termasuk penjarakan fizikal di kawasan awam dan kuarantin untuk pelawat yang sudah menerima vaksin termasuk di Masjidilharam dan Masjid Nabawi.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, pemakaian pelitup muka juga hanya diwajibkan di kawasan tertutup, berdasarkan keputusan terbaharu itu yang berkuat kuasa semalam.

Pengunjung yang masuk ke negara itu juga tidak perlu lagi menyediakan PCR atau ujian antigen pantas dan menjalani kuarantin wajib Covid-19 semasa ketibaan, tambah kementerian itu.

Bagaimanapun permit umrah dan memasuki Raudhah masih diperlukan melalui Eatmarna or Tawakalana.

Pada masa yang sama, penggantungan penerbangan dari 17 negara juga ditarik balik iaitu Afghanistan, Afrika Selatan , Namibia, Botswana , Zimbabwe, Lesotho, Eswatini, Mozambique, Malawi, Mauritius, Zambia, Madagascar, Angola, Seychelles, Comoros, Nigeria dan Ethiopia

Pandemik Covid-19 menjejaskan perjalanan jemaah umrah dan haji, yang kebiasaannya menjadi penyumbang pendapatan utama negara itu dengan pendapatan sekitar AS$12 bilion (RM50 bilion) setiap tahun.

Tahun lalu, berikutan penularan Covid-19, Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji untuk tahun kedua berturut-turut, dengan hanya 60,000 rakyat dan penduduk negara itu yang lengkap divaksin, dibenarkan menunaikan haji.

Related posts

Leave a Comment