China tidak mungkin longgar kawalan

BEIJING: Perdana Menteri,  Li Keqiang, membayangkan China tidak mungkin melonggarkan langkah kawalan sempadan berkaitan koronavirus buat masa ini ketika negara itu terus mencari keseimbangan antara kawalan wabak dengan pertumbuhan ekonomi.

Ketika membentangkan laporan kerja tahunan pemerintah di sesi pembukaan Parlimen China, Kongres Rakyat Nasional, Li berkata penggunaan dan pemulihan pelaburan daripada wabak Covid-19 adalah lembap.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kes daripada masuk ke dalam negara dan kemunculan semula kes domestik,  langkah pembendungan wabak perlu diperhalusi di samping memperkukuh kawalan wabak di  pintu masuk.

Begitu juga dengan mempertingkat usaha untuk mengkaji dan melindungi daripada varian virus, mempercepatkan (penyelidikan dan pengembangan) vaksin dan ubat-ubatan berkesan, dan terus melaksanakan program vaksinasi.

Katanya, kes setempat mesti ditangani dalam cara yang saintifik dan khusus, dan aturan kerja dan hidup normal mesti dilaksanakan.

Meskipun sedang ia menangani penularan Covid-19 di beberapa bandar, China melaporkan jumlah kes yang rendah berbanding kebanyakan negara lain.

Para pegawai berkata terdapat 281 kes jangkitan Covid-19 baru pada Jumaat lalu, dengan 179 daripadanya diimport.

Kebanyakan kes ini timbul dari wilayah Guangdong, yang bersempadan dengan Hong Kong, yang sedang memerangi lonjakan virus terburuk sejak bermulanya pandemik tersebut.

Sejak Mac 2020, China telah melaksanakan antara langkah kawalan sempadan paling ketat di dunia, yang menutup negara itu kepada semua pelawat kecuali bagi kes khas.

Mereka yang dibenarkan masuk negara itu perlu menjalani kuarantin berpusat antara 14 dengan 28 hari.

Mereka yang memasuki Beijing perlu menjalani kuarantin 21 hari.

Related posts

Leave a Comment