MB PH tunggu lepas menang

BATU PAHAT 4 Mac – Pakatan Harapan (PH) Johor akan menamakan menteri besar daripada kalangan mereka yang berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti, kata Pengerusinya, Aminolhuda Hassan.

Beliau berkata ketika ini fokus utama pucuk kepemimpinan adalah untuk memenangi PRN dan memanfaatkan tempoh berkempen yang berbaki lapan hari lagi.

Katanya, PH tidak berbincang lagi calon jawatan menteri besar dalam parti komponen yang ada kerana perkara yang lebih penting untuk dibincangkan adalah mencapai kemenangan di Johor pada PRN kali ini.

Menurut Aminolhuda, meletak seseorang sebagai calon pentadbir negeri, memerlukan perbincangan yang tepat dan masa yang sesuai.

“Kita berpendapat tempoh yang sesuai adalah apabila memperoleh kemenangan nanti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Tawaran Tindakan PH Johor, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dilaporkan berkata, perkara yang membabitkan siapa calon menteri besar jika PKR dan PH berjaya membentuk kerajaan negeri pada PRN Johor, 12 Mac ini bukan keutamaan gabungan parti berkenaan.

Beliau berkata, perkara mengenai siapa pemimpin yang akan diangkat sebagai menteri besar juga tidak dibincangkan sehingga kini oleh pucuk pimpinan.

Related posts

Leave a Comment