Dua minggu belajar atas talian

BERAKAS 4 Mac – Kaedah pengajaran dan pembelajaran di semua sekolah Brunei Darussalam akan dilaksanakan secara atas talian atau secara online learning selama dua minggu mulai 7 hingga 19 Mac ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II,  Dr.  Mohd. Amin Liew Abdullah berkata, langkah itu diambil berikutan kehadiran pelajar yang jauh berkurangan sejak kebelakangan ini.

Ia melibatkan pusat penjagaan kanak-kanak, tadika, sekolah rendah dan menengah, sekolah ugama dan pusat-pusat tingkatan enam di bawah Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Beliau bagaimanapun berkata, pertimbangan akan diberi kepada sekolah yang ingin mengadakan sesi secara bersemuka terutama sebagai persediaan pelajar untuk menghadapi peperiksaan antarabangsa.

Dr Mohd Amin juga mengumumkan Garis panduan perkumpulan ramai yang melibatkan acara di rumah persendirian yang antara lain mengehadkan jumlah kehadiran kepada 30 orang sahaja.

Di samping itu, peserta perlu melakukan ujian ART sebelum menghadiri acara-acara tersebut dan mematuhi garis panduan kesihatan yang sedia ada termasuk memakai pelitup muka, penjarakan fizikal, dan penggunaan sanitizer.

Bagi acara di dewan, had keramaian 300 orang masih dikekalkan dengan mematuhi garis panduan kesihatan yang sedia ada di samping peserta melakukan ujian ART sebelum menghadiri acara berkenaan.

Related posts

Leave a Comment