4,215 kes baharu Brunei Darussalam

BERAKAS 4 Mac – Sebanyak 4,215 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, kurang sedikit berbanding 4,885 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes di Brunei Darussalam meningkat kepada 80,749.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II,  Dr.  Mohd. Amin Liew Abdullah berkata, sebanyak 10 kes dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi.

Beliau yang mewakili Menteri Kesihatan pada sidang media Situasi Terkini Jangkitan Covid-19 berkata, sebanyak sembilan kes dalam Kategori 5, iaitu memerlukan bantuan mesin pernafasan dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Katanya, daripada kes baharu itu, 3,399 adalah hasil pengesanan daripada ujian ART dan 816 adalah hasil daripada 5,147 ujian makmal RT-PCR.

Sementara itu, sebanyak 2,395 kes direkodkan sembuh yang membawa jumlah kes pulih kepada 43,117 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 37,437.

Menurut Dr. Mohd Amin, pada masa ini, kadar pengisian di Pusat-pusat Pengasingan di seluruh negara atau ‘bed occupancy rate’ adalah sebanyak 11.1 peratus dengan 341 kes aktif ditempatkan di pusat pengasingan.

Beliau juga memberitahu, sebanyak 37.096 kes positif kini sedang menjalani pengasingan diri di rumah.

Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan, sehingga semalam, sebanyak 55.8 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini menerima tiga dos vaksin, manakala kadar satu dan dua dos masing-masing melebihi 94 peratus.

 Bagi sekatan pergerakan yang dijalankan dari pukul 12  malam semalam hingga 4 pagi, terdapat dua pelanggaran arahan keluar rumah dikeluarkan denda kompaun di seluruh negara.

Related posts

Leave a Comment