NEW YORK – Konflik di Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz turut memberi impak yang melangkaui sempadan, bukan lagi isu yang hanya memberi kesan kepada kawasan berkenaan, kata Menteri Luar, Mohamad Hasan.
Katanya, kesan peperangan tidak lagi terhad kepada negara atau kawasan terbabit secara langsung, sebaliknya turut memberi impak kepada masyarakat dunia dari segi ekonomi dan kehidupan harian.
Menurut beliau jika dulu perang, penderitaan itu dirasai oleh mereka yang terbabit tetapi disebabkan dunia saling terhubung, kesannya bukan sahaja di kawasan masing-masing tetapi dirasai juga di tempat-tempat lain.
“Perang, penutupan Selat Hormuz dan perang di Asia Barat turut dirasai oleh keluarga di Asia Tenggara kerana kenaikan harga barang dan bahan api serta berbagai-bagai perkara lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia pada Debat Umum Sesi Ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini, Sabtu lalu.
Sementara itu, Mohamad berkata, PBB perlu kembali kepada asas penubuhannya bagi memastikan pengajaran daripada peperangan terus menjadi teras usaha mencegah penderitaan dan kemusnahan manusia.
Beliau berkata, selepas beberapa dekad berlalu, masyarakat dunia kini dilihat semakin melupakan penderitaan akibat peperangan, sedangkan konflik terus berlaku di Eropah, benua Afrika dan Asia Barat.
“Banyak pihak yang telah lupa mengenai penderitaan yang telah dilalui oleh masyarakat dunia, betapa perang itu mendatangkan penderitaan dan kehancuran,” katanya.
Menurut Mohamad, keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap PBB kini semakin merosot dan wujud apa yang disifatkannya sebagai defisit kepercayaan yang serius.
Beliau turut menggesa reformasi di PBB dan Majlis Keselamatannya (UNSC) terutama mengenai penggunaan kuasa veto yang tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya, khususnya dalam perkara membabitkan jenayah kemanusiaan, genosid dan jenayah lain.
Katanya, pelbagai resolusi telah diluluskan pada peringkat PBB, namun sesuatu keputusan boleh tersekat apabila sampai ke UNSC kerana dihalang kuasa veto, walaupun mendapat sokongan besar daripada anggota PBB.
Tegasnya walaupun lebih daripada dua pertiga suara di PBB meluluskan resolusi, ia terus tidak menjadi kenyataan.
Keadaan itu turut dapat dilihat apabila undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa terus dicabuli, sedangkan tindakan sewajarnya tidak dapat dilaksanakan.
Menurutnya, jika keadaan itu tidak ditangani, PBB akan terus gagal berfungsi memenuhi matlamat yang diharapkan masyarakat antarabangsa.
Nnnn
