Dr Siti Hasmah meninggal dunia

KUALA LUMPUR 28 Sept. –  Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, tokoh perubatan dan kebajikan sosial, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), pukul 9.20 pagi ini pada usia 100 tahun.

Isteri bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor.

Dr Siti Hasmah adalah di antara wanita Melayu pertama menamatkan pengajian dalam bidang perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII, Singapura dan memperoleh ijazah MBBS dari Universiti Malaya pada 1955.

Berkahwin dengan Dr Mahathir yang dikenalinya ketika bersama-sama mengikuti pengajian di Singapura pada 1956 dan hasil perkongsian hidup, pasangan itu memiliki enam cahaya mata.

Sebagai pelopor dalam bidang kesihatan ibu dan kanak-kanak, Allahyarham dilantik sebagai wanita pertama menyandang jawatan Pegawai Kesihatan Negeri pada 1974.

Allahyarham juga melanjutkan pengajian dalam bidang kesihatan awam di University of Michigan dan banyak menulis isu perubatan keluarga, kehamilan, dan kesihatan wanita.

Sementara itu, jenazah dibawa pulang ke kediaman di The Mines, Seri Kembangan, Selangor dari Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada 10.48 pagi tadi untuk diberi penghormatan terakhir.

Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid As Syarif, Taman Sungai Besi Indah, di sini untuk disolatkan, petang ini, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Presint 20, Putrajaya.

Dalam pada itu, kerajaan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarham.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata beliau mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Malek Razak Sulaiman, membantu pengurusan serta melaksanakan istiadat berkenaan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment