Dividen KWSP 6.10 % , 5.65 %

PUTRAJAYA 2 Mac – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah bagi tahun 2021.

Kadar itu lebih tinggi berbanding 2020, yang mana dividen bagi Simpanan Konvensional sebanyak 5.20 peratus dan 4.90 peratus untuk Simpanan Syariah.

Jumlah pengagihan terkumpul bagi 2021 adalah RM56.72 bilion, iaitu RM50.45 bilion untuk Simpanan Konvensional dan RM6.27 bilion lagi untuk Simpanan Syariah

Dividen itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan pada taklimat prestasi kewangan KWSP sini, hari ini.

Pada 2021, KWSP mencatatkan caruman bersih negatif (caruman setelah mengambil kira pengeluaran) untuk pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun sebanyak RM58.2 bilion, namun ia tetap teguh dan berhemat dalam strategi pelaburan jangka panjangnya, selain menyesuaikan diri terhadap cabaran dalam memastikan pulangan mampan jangka panjang.

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, di mana RM6.91 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Syariah.

Prestasi yang membanggakan itu adalah hasil pendekatan kepelbagaian portfolio yang berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA), yang memastikan KWSP bertahan terhadap kejutan kewangan serta kekal stabil dalam situasi yang tidak dijangka.

Pemulihan pasaran yang berterusan sepanjang 2021, terutama dalam pasaran maju, menyumbang kepada portfolio ekuiti tersenarai KWSP dan menyediakan peluang kepada dana persaraan ini untuk merealisasikan keuntungan.

Ekuiti, khususnya ekuiti tersenarai luar negara yang merekodkan pulangan pelaburan (ROI ) sebanyak 10.44 peratus, terus menjadi penyumbang pulangan utama.

Jumlah pendapatan bagi kelas aset Ekuiti adalah sebanyak RM38.93 bilion, atau 58 peratus daripada keseluruhan pendapatan kasar KWSP.

Portfolio ekuiti persendirian juga menunjukkan prestasi yang baik, merekodkan pulangan pelaburan sebanyak 19.01 peratus.

Setakat Disember 2021, sekitar 37 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah di luar Malaysia dan merentasi pelbagai kelas aset.

Keseluruhan aset pelaburan meningkat 0.8 peratus kepada RM1.01 trilion daripada RM1.00 trilion pada 2020.

Jumlah keahlian setakat Disember 2021 meningkat sebanyak dua peratus kepada 15.2 juta, manakala majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah berjumlah 553,000.

Related posts

Leave a Comment