Kelantan paling rendah ambil penggalak

PUTRAJAYA 28 Feb. – Kelantan menjadi negeri paling rendah mendapatkan dos penggalak iaitu sekitar 27.7 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi golongan dewasa di negeri berkenaan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, perkara itu merunsingkan pihaknya terutamanya apabila Unit Rawatan Rapi (ICU) di negeri berkenaan semakin penuh.

“Loloni Kelate paling rendah skali ambik booster (Sekarang Kelantan paling rendah ambil dos penggalak).

“Ambo (saya) runsing, ICU sana koho penuh (ICU sana semakin penuh). Ambo mitok sangat puok kita di Kelate pakat cocok vaksin & booster (Saya minta sangat rakyat Kelantan pergi cucuk vaksin dan ambil dos penggalak).

“Kementerian Kesihatan (KKM) saye ore Kelate, pakat gi cocok deh (KKM sayang orang Kelantan, tolong pergi cucuk (vaksin),” katanya dalam ciapan di Twitter.

Menurut data dalam COVIDNOW, secara keseluruhannya Kelantan sudah memberikan sebanyak 2,298,896 dos suntikan vaksin.

Daripada jumlah berkenaan, 1,020,322 sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos dengan 1,005,200 lengkap dua dos vaksin dan, hanya 281,219 sudah menerima dos penggalak.

Selain itu, negeri berkenaan kini mencatatkan 94 peratus kadar penggunaan di ICU, manakala sudah melebihi 100 peratus bagi penggunaan katil bukan ICU.

Related posts

Leave a Comment