Solat benteng kemungkaran

BANDAR SERI BEGAWAN 28 Feb. – Peristiwa Israk dan Mikraj adalah kejadian luar biasa yang membawa kepada perintah mendirikan solat yang menjadi ibadat utama dalam kehidupan umat Islam.

Sultan Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah bertitah, matlamat utama peristiwa ini adalah untuk menerima sembahyang lima waktu daripada Allah.

Tegas baginda, perintah sembahyang disyariatkan secara langsung oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW tanpa sebarang perantaraan dan inilah kehebatan dan keistimewaan solat itu.

“Tidak syak lagi, sembahyang adalah tali penghubung di antara Al-Khaliq dan hamba-Nya. Maka akan kuatlah hubungan itu dengan melakukan sembahyang.

“Oleh itu diwajibkan sembahyang itu sebagai ibadat utama di dalam kehidupan kita, sebagai cara untuk menjaga hubungan ini biar ia terus kekal dan kukuh sehingga tiada putus-putus,” tegas baginda.

Baginda bertitah demikian pada perutusan bersempena Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1443 Hijrah / 2022 Masihi yang bertemakan Sembahyang Ku Kerana Allah.

 Menurut baginda lagi, melalui sembahyang juga, Allah akan mengurniakan keamanan, ketenangan, kesihatan dan kebahagiaan.

Ini, menurut baginda dapat dikesan dari firman Allah SWT dalam Surah Al-‘Ankabut, ayat 45, yang bermaksud: Baca serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang, sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah (terutama dengan melakukan sembahyang) itu adalah lebih besar (faedah dan kesannya) dan Allah Maha Mengetahui akan apa-apa jua yang kamu kerjakan”.

Ayat ini titah baginda, adalah isyarat untuk kita memahami bahawa, ibadat sembahyang adalah segala-galanya yang mampu untuk membersihkan kita daripada mungkar.

“Demikian itulah dengan sembahyang. Ia adalah ‘kubu’ untuk membentengi kita daripada mungkar. Manakala seseorang itu terselamat daripada mungkar, maka itulah harapan tertinggi baginya untuk meraih syurga Allah Ta’ala.

“Kerana matlamat yang suci inilah, Kerajaan beta mengambil sikap tegas menyediakan sistem persekolahan ‘wajib ugama’. Kerana beta tidak mahu, walau seorang pun dari rakyat Muslim di negara ini yang tidak sembahyang,” titah baginda.

Baginda turut menyatakan akan rasa bahagia jika semua orang Islam menunaikan sembahyang kerana ia adalah tiang agama, jika ia ditinggalkan, bererti kita meroboh agama.

Baginda berharap, pihak-pihak berkenaan yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan hal ehwal pendidikan, tidak mengabaikan perkara ini kerana inilah tugas asasi dan ‘amanah’ tertinggi untuk ditunaikan.

“Semua orang tidak boleh lari dari kewajipan ini. Para guru, ibu bapa dan malah kerajaan adalah sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan ibadat ini benar-benar dihayati. Apabila sudah berlaku demikian, maka insyaaAllah, berkat dan rahmat akan turun kepada Brunei dan kepada kita semua,” titah baginda. 

Related posts

Leave a Comment