Agong bimbang aliran mengelirukan

KUALA LUMPUR 28 Feb. –  Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan dengan pelbagai fahaman dan aliran pemikiran yang mengelirukan masyarakat Islam.

Baginda juga bimbang dengan tindakan sesetengah pihak untuk menormalisasikan budaya yang bercanggah dengan adat dan amalan agama di negara ini.

“Fahaman dan aliran pemikiran ini perlu dikawal melalui tindakan berfokus dan strategik membabitkan semua pihak berkuasa agama, keselamatan serta pihak lain yang bertanggungjawab,” titah baginda.

Bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-14, hari ini, baginda menegaskan, dalam memastikan kemakmuran negara kekal terpelihara, perpaduan nasional harus terus menjadi agenda utama negara.

“Usaha memupuk budaya toleransi dan hormat menghormati perlu menjadi tanggungjawab seluruh rakyat.

“Justeru, beta menyambut baik Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2021-2030 dan KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia 2021-2025 yang bersifat komprehensif,” titah baginda.

Baginda turut menitahkan supaya kerajaan menumpukan usaha membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 melalui tindakan bersepadu dengan pelbagai pendekatan.

Menurut baginda, semua pihak perlu menggembleng tenaga dan memberikan komitmen tinggi supaya taraf hidup golongan miskin tegar dapat ditingkatkan melalui peningkatan pendapatan mampan.

“Beta turut menyambut baik usaha diterajui Majlis Perlindungan Sosial (MySPC) yang memberi dimensi baharu dalam mengukuhkan sistem perlindungan sosial negara.

“Program perlindungan sosial sedia ada juga wajar diperkukuh dan disusun semula bagi mendepani cabaran yang boleh menjejaskan kualiti hidup serta potensi pembangunan masa hadapan,” titah baginda

Pada masa sama, baginda mahu usaha pemulihan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta usahawan informal yang terjejas akibat pandemik Covid-19 serta bencana banjir diambil perhatian penting dan kritikal.

Titah baginda, kumpulan khusus seperti penjaja dan peniaga kecil, wanita, belia, graduan, kumpulan B40 termasuk asnaf serta golongan hilang pekerjaan perlu terus dibantu melalui program bimbingan keusahawanan dan pembiayaan yang bersesuaian demi kelangsungan hidup.

Related posts

Leave a Comment