Syed Saddiq pencadang calon DAP

JOHOR BAHRU 26 Feb. – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman muncul di pusat penamaan calon hari ini tetapi bukan sebagai calon sebaliknya pencadang kepada calon DAP.

Beliau yang tidak bertanding mana-mana kerusi menjadi pencadang kepada Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling.

Kedua-dua pemimpin politik itu tiba di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim Johor Baru, pada pukul 9.05 pagi.

Ketika ditanya mengenai kehadiran Syed Saddiq, Chin Tong berkata Presiden Muda itu memang pencadangnya.

“Syed Saddiq pun calon Perling. Gurau je. Dia (Syed Saddiq) pencadang saya,” katanya kepada pemberita sebelum memasuki dewan itu.

Sementara itu Syed Saddiq turut menyatakan dia adalah pencadang Chin Tong.

“Saya kat sini sebagai pencadang. Saya ni orang Perling,” katanya.

Chin Tong berdepan saingan dua lagi calon iaitu Ketua Wanita MCA Pulai, Tan Hiang Kee dan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Naib Presiden Gerakan, Khoo Siaw Lee.

Hiang Kee yang pertama tiba di pusat penamaan pada pukul 8.45 pagi, diikuti Siaw Lee pada pukul 8.49 pagi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, wakil PH, Cheo Yee How memenangi kerusi itu dengan majoriti 19,533 undi.

Related posts

Leave a Comment