30,644 kes baharu Malaysia

PUTRAJAYA 26 Feb. – Angka jangkitan baharu Covid-19 semalam turun sedikit apabila sebanyak 30,644 kes direkodkan berbanding 32,070 kes kelmarin, kata Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada angka itu, sebanyak 30,387 kes adalah penularan tempatan manakala 257 lagi adalah kes import menjadikan jumlah keseluruhan individu yang dijangkiti kini 3,367,871.

Katanya, sebanyak 9,557 kes atau 31.19 peratus adalah Kategori 1, manakala Kategori 2 (20,931 kes); Kategori 3 (91 kes); Kategori 4 (39 kes) dan Kategori 5 (26 kes).

Selain itu, katanya, 33 daripada 156 kes Kategori 3, 4 dan 5 yang dilaporkan itu dikenal pasti tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi, manakala 77 lagi belum menerima dos penggalak.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, sebanyak 46 kes atau 29.49 peratus sudah menerima dos penggalak, manakala 78 kes lagi berusia 60 tahun ke atas, komorbiditi (89 kes) dan ibu mengandung (dua kes).

Kementerian Kesihatan (KKM) turut mencatatkan 22,678 kes sembuh, manakala 332 kes pula dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 196 kes memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, portal COVIDNOW pula melaporkan, sebanyak 57 kes kematian akibat Covid-19 direkodkan semalam, dengan 14 diklasifikasikan sebagai kes kematian di luar hospital (BID), menjadikan jumlah kumulatifnya sejumlah 32,591 orang.

Johor melaporkan 14 kes kematian, manakala Sabah (lapan kes); Perak (enam kes); Kedah, Melaka dan Selangor (lima kes); Pahang dan Terengganu (tiga kes); Kuala Lumpur dan Perlis (dua kes) serta Kelantan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sarawak (satu kes).

Related posts

Leave a Comment