Tujuh penjuru di Kempas, Tiram

JOHOR BAHRU 26 Feb. – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas dan Tiram menyaksikan persaingan sengit dengan pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.

Kerusi DUN Kempas menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN) Ramlee Bohani, Napsiah Khamis Maharan (PKR), Nornekman Osman (Pejuang), Nur Faizal Abdullah (PN) dan tiga calon Bebas iaitu Mohd Azwan Abd Rahman, Mohd Suhimi A Rahman dan Mohd Hambali Munadi.

Sementara itu, kerusi DUN Tiram pula membabitkan pertandingan antara Azizul Bachok daripada BN, Karim Deraman (PN), Abdul Aziz Harun (Pejuang), S. Gopalakrishnan (PKR), Mohd Azmi Ali (PBM) dan dua calon Bebas iaitu P Bala Sundaram dan J Jayasangkar.

Pertembungan enam penjuru pula berlaku di empat kerusi DUN iaitu di Bukit Pasir, Maharani, Puteri Wangsa dan Larkin manakala pertandingan lima penjuru di lapan kerusi iaitu di DUN Tangkak, Bukit Naning, Semerah, Senggarang, Endau, Permas, Stulang dan Kota Iskandar.

Sebanyak 35 kerusi DUN menyaksikan pertembungan empat penjuru manakala tiga penjuru di tujuh kerusi DUN.

Seramai 2,574,835 pengundi biasa daripada keseluruhan 2,597,742 pengundi berdaftar, layak mengundi. Daripada jumlah keseluruhan itu, 22,531 orang adalah pengundi awal yang terdiri daripada 10,955 anggota tentera dan pasangan serta 11,576 anggota polis manakala 376 lagi adalah pengundi tidak hadir luar negara.

Related posts

Leave a Comment