Singapura belum sedia ‘rapat saf’

SINGAPURA 25 Feb. – Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan terus melaksanakan langkah-langkah jarak selamat sama ada bagi solat jemaah atau kegiatan-kegiatan agama di masjid.

Dalam catatan di Facebooknya semalam, Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen menjelaskan langkah mengekalkan jarak selamat itu dibuat  selepas kadar jangkitan masih sangat tinggi.

“Dengan berat hati kami akan mengekalkan status quo bagi solat jemaah dan kegiatan di masjid-masjid. Kami akan mengekalkan (peraturan) jarak 1 meter antara jemaah. Zon-zon dan tanda-tanda jarak selamat akan dikekalkan,” jelas Kadir.

Berikutan kenyataan itu,  bermakna tiada cadangan ‘merapatkan saf’ atau pemansuhan jarak selamat 1 meter di masjid.

Beliau faham masyarakat ghairah dengan pengumuman awal bahawa langkah-langkah jarak selamat mungkin dilonggarkan dengan had (bagi jumlah jemaah di masjid) dinaikkan.

“Namun, seperti  kita lihat sepanjang beberapa hari lalu, kadar jangkitan masih tinggi, dan Kementerian Kesihatan mengumumkan akan memperkemas Langkah-Langkah Pengurusan Selamat Covid-19 pada tarikh lebih lewat,” kata Kadir.

Pengumuman MoH ini sekali gus bermakna, garis panduan sedia ada akan dikekalkan bagi semua acara keagamaan.

Semalam Singapura merekodkan 18,593 kes baharu dan sebelum itu mencatatkan 20,312 kes.

(foto hiasan fb Masjid Yusof Ishak Singapura)

Related posts

Leave a Comment