SEPANG 3 Nov. – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan menyalurkan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) secara saksama kepada semua kawasan pilihan raya, bukan menjadikannya bahan tawar menawar politik.
Justeru IDEAS menggesa Kerajaan Madani menghentikan amalan mensyaratkan pemberian CDF dengan sokongan politik sebaliknya dana awam itu seharusnya di manfaatkan semua penduduk tanpa mengira fahaman politik wakil rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari, dalam satu kenyataan berkata, Kerajaan Madani wajar memastikan pembangkang dan rakyat mendapat hak sama.
Beliau menegaskan, peruntukan CDF tidak sepatutnya dikaitkan dengan sebarang komitmen politik seperti Perjanjian Sokongan Kepercayaan dan Belanjawan (CSA) dimeterai baru-baru ini.
“Amalan semasa yang memberikan ahli Parlimen kerajaan capaian CDF secara automatik, manakala ahli Parlimen pembangkang perlu berunding mewujudkan layanan dua darjat.
Penduduk di sesuatu kawasan tidak seharusnya menerima layanan kelas kedua hanya kerana wakil rakyat mereka berada di pihak pembangkang,” katanya
IDEAS turut mempersoalkan waktu perjanjian berkenaan dimeterai memandangkan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang semakin hampir.
“CDF tidak seharusnya dijadikan alat untuk mendapatkan sokongan politik atau mengukuhkan kedudukan politik kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, IDEAS mengignatkan semula cadangan bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) serta Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) supaya peruntukan CDF diinstitusikan secara sah menerusi undang-undang berasaskan tiga prinsip utama iaitu:
- Capaian sama rata: Semua wakil rakyat yang dipilih harus menerima peruntukan CDF tanpa mengira fahaman politik.
- Peruntukan berasaskan formula: Jumlah peruntukan harus mengambil kira saiz populasi dan keperluan pembangunan kawasan pilihan raya.
- Ketelusan dalam pengagihan dan pelaporan: Garis panduan CDF, butiran peruntukan dan laporan perbelanjaan hendaklah tersedia untuk capaian awam serta terbuka kepada penelitian Parlimen.
Bagi jangka panjang, beliau mencadangkan agensi kerajaan atau kerajaan tempatan mengambil alih tanggungjawab menyelia pengagihan dana komuniti, manakala ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berperanan mengenal pasti keperluan setempat.
Katanya, reformasi CDF itu sepatutnya menjadi langkah paling mudah untuk dilaksanakan memandangkan ia terkandung dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Menjelang pilihan raya umum akan datang, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpeluang melaksanakan reformasi diperjuangkannya sendiri selama bertahun-tahun sekali gus memperkukuh imej beliau sebagai pemimpin reformis,” katanya.
