MCA tanding 15 kerusi DUN Johor

JOHOR BAHRU 24 Feb. – MCA menurunkan sembilan muka baharu daripada 15 calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.

Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong, berkata purata calon MCA dalam PRN Johor adalah berusia 43 tahun,

“Daripada 14 orang ini enam daripada mereka dalam usia 30-an dengan seorang berusia 27 tahun, manakala calon paling senior berusia 60 tahun. Sembilan daripada mereka adalah muka baharu,” katanya pada sidang media di sini.

Antara muka baharu tersenarai ialah Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Chan Shan Shan bertanding untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya, Lee Ting Han (Paloh), Tan Hiang Kee (Perling) dan Lim Soon Hai (Skudai).

Calon bagi kerusi DUN Puteri Wangsa akan diumumkan esok.

Pengumuman calon MCA dibuat berasingan apabila semua calon UMNO dan MIC diubah ke tengah hari tadi atas alasan calon MCA belum dimuktamadkan.

Ka Siong berkata, MCA perlu bekerja lebih keras bagi membuktikan ia masih relevan dan mampu menarik sokongan masyarakat termasuk pengundi baharu, selepas tewas semua 15 kerusi DUN ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Sebelum ini ada pihak cakap MCA tidak mampu menarik sokongan masyarakat termasuklah golongan profesional dan muda.

“Dalam PRN Johor ini, kita tampilkan senarai calon yang berkelayakan, calon baharu, muda, profesional dan wanita juga,” katanya.

Katanya, MCA tidak gemar membuat ramalan berdasarkan statistik di atas kertas.

“Biarlah kita buat kerja bersungguh-sungguh untuk memenangi hati pengundi.

“Atas kertas mungkin dilihat seperti kita mempunyai kelebihan, namun perlu diingat kita tewas semua kerusi ditandingi dalam PRU lalu, maka kita perlu bekerja keras mendapatkan semula mandat rakyat,” katanya.

Related posts

Leave a Comment