UMNO 37, MCA 15, MIC 4

JOHOR BAHRU 24 Feb. – Barisan Nasional (BN) membariskan lebih 70 peratus muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac ini, sekali gus menjadi penanda aras baharu pemilihan calon bagi parti itu dalam menghadapi pilihan raya selepas ini.

Pengerusinya Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN turut menggunakan konsep WALI yang menggariskan tiga elemen iaitu ‘winnable’, ‘acceptable’ dan ‘likeable’ dalam menentukan calon bagi PRN Johor.

“Lebih 80 peratus calon PRN Johor juga berusia  55 tahun ke bawah, manakala 80 peratus calon berkelulusan akademik serta profesional,” katanya pada majlis pengumuman calon BN, di sini hari ini.

Katanya, kombinasi tiga elemen itu bukan hanya akan jadi perubahan besar dalam pemilihan calon BN selepas ini dan dalam masa sama tidak melupakan mereka yang berpengalaman dalam memberi perkhidmatan serta kesinambungan terbaik parti.

Pada PRN Johor ini, UMNO akan bertanding 37 kerusi, MCA 15 dan MIC pula empat manakala Friends of BN tidak bertanding,tetapi akan terus bergerak atas satu pasukan.

Sementara itu, Pengerusi BN Johor, Hasni Mohammad, menafikan berlaku pertikaian dalam perbincangan kerusi bersama MCA, menyebabkan calon parti komponen itu tidak diumumkan pada majlis pengumuman calon BN, hari ini.

Hasni, yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Johor berkata, tidak berlaku sebarang pertikaian dan pertelingkahan dalam perbincangan kerusi mana-mana komponen parti, termasuk MCA mahu pun Friends of BN.

“Sebenarnya apa yang terjadi adalah kesedaran terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini lebih mendalam, dengan semua parti dan calon sedar ini bukannya pilihan raya biasa.

“Alhamdulillah, semua komponen mahu memastikan calon yang ditampilkan adalah yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata, senarai calon BN tidak lengkap pagi ini, yang membabitkan 15 kerusi kerana MCA perlu memuktamadkan lagi calon mereka untuk memastikan hasrat, matlamat BN  pada PRN ini untuk menampilkan calon yang terbaik.

Ditanya sama ada pertukaran kerusi tradisi MCA dengan calon UMNO menyebabkan senarai calon MCA tidak dapat dimuktamadkan lagi, Hasni yang juga Menteri Besar Johor, turut menafikan perkara itu.

“Persetujuan pertukaran kerusi antara MCA dan UMNO adalah disebabkan calon yang dikemukakan perlu yang terbaik ditampilkan seperti ditetapkan pucuk pimpinan,” katanya.

Related posts

Leave a Comment