Brunei Darussalam catat 3,721 kes

BERAKAS 24 Feb. – Sebanyak lapan kes Covid-19 kategori 4 dan tiga kes kategori 5 dilaporkan di Brunei Darussalam ketika negara itu terus merekodkan peningkatan kes harian sebanyak 3,721 berbanding 3,285 semalam.

Kes Kategori 4, memerlukan bantuan oksigen dan di bawah rawatan rapi manakala kes dalam Kategori 5, memerlukan bantuan mesin pernafasan dan sedang dirawat di Unit Rawatan Intensif.

Menteri Kesihatan Dr. Md Isham Jaafar pada sidang media petang ini memaklumkan satu kematian baharu direkodkan melibatkan seorang lelaki berusia 88 tahun yang tidak mendapatkan vaksin Covid-19 dan mengalami masalah pernafasan.

Katanya, jumlah keseluruhan kes yang direkodkan Brunei Darussalam ketika ini adalah sebanyak 48,055 dengan jumlah kematian pula seramai 62 orang.

Daripada 3,721 kes baharu itu, sebanyak 2,980 adalah hasil Ujian Pantas Antigen (ART) yang dimuat naik ke portal Kementerian Kesihatan manakala 741 lagi adalah dari 4,025 ujian makmal RT-PCR yang dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu..

Menurut Dr Md Isham, sejak gelombang ketiga bermula awal Februari lalu, sebanyak 1,574 kes positif melibatkan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah dan tidak ada yang terlibat dalam kategori 3, 4 atau 5.

Sebanyak 875 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 23,593 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 24,349 kes.

Katanya, kadar penggunaan katil di kesemua Pusat Pengasingan atau ‘bed occupancy rate’ pada masa ini ialah sebanyak 7 peratus dengan 415 kes aktif ditempatkan di pusat-pusat pengasingan.

Sebanyak 23,934 kes positif sedang menjalani pengasingan diri di rumah manakala 162 kluster aktif direkodkan.

Sehingga 23 Februari 2022, pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan bagi mereka yang menerima tiga dos adalah  52.9 peratus daripada keseluruhan penduduk manakala kadar yang menerima satu dos dan dua dos vaksinasi, masing-masing melebihi 94 peratus.

Related posts

Leave a Comment