Brunei sambut Hari Kebangsaan ke-38

BANDAR SERI BEGAWAN 23 Feb. – Brunei Darussalam hari ini menyambut Hari Kebangsaan Kali Ke-38 yang bertemakan Menjayakan Wawasan Negara.

Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-38 itu berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.

Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah hadir pada perhimpunan itu yang diadakan dalam suasana meriah dengan pematuhan protokol kesihatan.

Malam tadi, dalam titah perutusan di Istana Nurul Iman, baginda bersyukur kerana  dapat meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Ke-38 tahun ini.

“Hari Kebangsaan adalah detik bersejarah bagi setiap negara merdeka tidak terkecuali juga bagi negara kita Brunei Darussalam.

“Dengan menyambut Hari Kebangsaan, kita dapat mengenang dan menghargai nilai kemerdekaan termasuk pengorbanan mereka yang bekerja keras untuk kemerdekaan itu,” titah baginda.

Titah baginda, kemerdekaan itu wajar dipelihara oleh sekalian rakyat dan penduduk dengan semangat patriotik yang tinggi selaku warisan berharga yang berhak dinikmati oleh generasi demi generasi.

Baginda juga bersyukur selama 38 tahun negara merdeka, jentera pembangunan tetap terus berfungsi menghasilkan perkembangan dan kemajuan walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Titah baginda, kerajaan berupaya untuk melaksanakan Projek Perumahan Negara untuk kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat.

Begitu juga dengan terbinanya Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang menghubungkan Daerah Brunei dan Muara dengan Daerah Temburong.

Negara juga telah menubuhkan Autoriti Kemajuan Daerah Temburong (AKDT) untuk merancang pelbagai perancangan termasuk memajukan bidang pertanian serta menjadikan daerah ini sebagai destinasi ekopelancongan.

Rancangan Kemajuan Negara pula adalah merupakan projek jangka panjang secara menyeluruh untuk menyediakan infrastruktur dan kemudahan yang boleh dinikmati oleh rakyat termasuk pelabur-pelabur di negara ini.

“Kita menyedari bahawa usaha-usaha pemulihan ekonomi, kesan dari wabak koronavirus memerlukan langkah berhati-hati, termasuk dengan melonggarkan sekatan yang dahulunya menyebabkan kegiatan perekonomian terjejas.

“Dan sehubungan itu telah memaksa sektor awam dan swasta menerapkan budaya penggunaan teknologi maklumat dalam kehidupan seharian.

“Ini menjadikan kita perlu mempercepatkan pengukuhan Transformasi Digital bagi memastikan norma baharu dapat dilaksanakan dengan berkesan,” titah baginda lagi.

Related posts

Leave a Comment