Tamat sekatan bukan kemenangan

LONDON: “Hari ini bukan hari kita boleh mengisytiharkan kemenangan ke atas Covid-19 kerana virus ini tidak akan hilang,” begitu ingatan Perdana Menteri, Boris Johnson ketika mengumumkan penamatan sekatan Covid-19 mulai Khamis ini.

Mulai 1 April pula England akan menghentikan ujian saringan besar-besaran secara percuma.

Pada sidang akhbar di Downing Street, Johnson menyifatkan dua tahun bersama wabak itu sebagai tempoh paling gelap, paling suram dalam sejarah masa aman kita.

Namun, katanya, negara sudah melepasi kemuncak varian Omicron, dengan kes berkurangan dan kemasukan ke hospital.

“Negara kini boleh melengkapkan ‘peralihan kembali ke arah normal’ dan mengekalkan langkah berjaga-jaga untuk bertindak balas terhadap kebangkitan semula Covid-19 atau varian baharu,” katanya.

Sebelum itu, Johnson memberitahu Ahli Parlimen bahawa kewajipan undang-undang untuk mengasingkan individu yang diuji positif virus itu akan digugurkan susulan perancangan ‘hidup dengan Covid’ yang dirancangnya.

Katanya, mulai 1 April ini penyediaan ujian saringan percuma hanya akan disasarkan kepada mereka yang paling terdedah.

Bagaimanapun, kesatuan doktor perubatan, Persatuan Perubatan British, berkata rancangan berkenaan dilihat gagal melindungi mereka yang paling berisiko daripada Covid-19.

Malah, parti pembangkang juga mengatakan, pelan tindakan Perdana Menteri itu untuk keluar daripada wabak berkenaan bergerak terlalu cepat, malah mereka menyuarakan kebimbangan terhadap pengurangan ujian saringan percuma.

Kerajaan Scotland juga berkata, nasihat kesihatan awam yang diterima tidak mengesyorkan supaya sekatan itu ditarik balik.

Sementara itu, Ketua pegawai perubatan England, Prof Sir Chris Whitty, berkata penamatan sekatan virus adalah ‘perubahan beransur-ansur dan stabil dalam tempoh masa’, namun ia bukan bermakna semuanya berhenti secara tiba-tiba kerana bilangan individu dijangkiti Omicron masih tinggi.

Related posts

Leave a Comment