Malaysia catat 25,099 kes baharu

PUTRAJAYA 22 Feb. – Jumlah kes harian Covid-19 terus menunjukkan penurunan dengan 25,099 jangkitan baharu dilaporkan, semalam, berbanding 26,832 kelmarin, kata Ketua Pengarah Kesihatan,  Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jangkitan baharu itu membabitkan 25,014 penularan tempatan dan 85 kes import yang menjadikan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat kepada 3,246,779 kes.

Jangkitan baharu itu meliputi 100 kes (0.4 peratus) dalam Kategori 3, 4, dan 5, manakala 24,999 lagi (99.6 peratus) Kategori 1 serta 2.

Daripada 100 kes Kategori 3, 4, dan 5 pula, 25 membabitkan individu tidak divaksinasi atau belum lengkap imunisasi Covid-19; 53 menerima dua dos vaksin tetapi belum disuntik dos penggalak; dan 22 sudah menerima dos penggalak.

Seramai 47 daripada mereka adalah berusia 60 tahun dan ke atas; 52 mempunyai komorbid serta seorang wanita mengandung.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan, seramai 17,749 lagi pesakit dilaporkan sembuh, membawa kepada jumlah kumulatif 2,955,404 (91 peratus).

Beliau berkata, sebanyak 272 kes pula memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 104 disahkan Covid-19 serta 168 disyaki, berkemungkinan dan kes dalam siasatan.

Sebanyak 164 kes (60 disahkan Covid-19 dan 104 disyaki, berkemungkinan serta kes dalam siasatan) memerlukan bantuan pernafasan.

Di samping itu, empat kluster baharu Covid-19 dikesan, menjadikan jumlah keseluruhan kini mencecah 6,723, termasuk 6,223 kluster sudah tamat.

Related posts

Leave a Comment