Lebih 1 juta daftar PICKids

PUTRAJAYA 21 Feb. – Lebih satu juta atau 28 peratus kanak-kanak berusia lima tahun hingga 11 tahun di negara ini sudah berdaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Beliau memberitahu, seramai 1,022,966 kanak-kanak akan mendapatkan pelalian berkenaan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), yang diperkenalkan sejak 3 Februari lalu.

Pada masa sama, Khairy berharap ibu bapa tidak mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ dalam isu pemberian vaksin kepada anak mereka.

“Ini kerana kadar kemasukan kanak-kanak ke hospital mula meningkat. Daftarkan anak anda untuk PICKids hari ini,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Khairy memaklumkan, seramai 269,400 kanak-kanak di Selangor sudah didaftarkan untuk menerima imuniti Covid-19, sekali gus menjadi negeri paling tinggi dalam pendaftaran PICKids.

Ini diikuti Johor (150,800), Kuala Lumpur (96,700), Sarawak (90,000), Pulau Pinang (69,000), Perak (66,000), Kedah (55,400), Pahang (44,500), Melaka (39,500), Sabah (39,000) dan Negeri Sembilan (36,000), Terengganu (28,100), Kelantan (21,900), Putrajaya (9,200), Perlis (4,700) dan Labuan (2,000).

Jika mengikut etnik, Khairy berkata, kanak-kanak daripada kaum Cina paling tinggi mendapatkan pelalian berkenaan di negara ini iaitu sebanyak 46.4 peratus.

Kanak-kanak kaum Cina di lapan negeri yang sudah mendapatkan vaksin melebihi 50 peratus ialah di Melaka (80.3 peratus), Kedah (65.5 peratus), Kuala Lumpur (61.3 peratus), Perak (58.4 peratus), Pahang (58.1 peratus), Perlis (59 peratus), Terengganu (53.6 peratus) dan Selangor (53.5 peratus).

Related posts

Leave a Comment