26,832 kes baharu Malaysia

PUTRAJAYA 21 Feb. – Sebanyak 26,832 kes baharu Covid-19 dilaporkan semalam,  menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan di negara ini meningkat kepada 3,221,680 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes yang direkodkan itu membabitkan 26,764 kes penularan tempatan dengan 68 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dalam kenyataannya, beliau berkata, kes paling tinggi adalah pesakit dalam kategori dua iaitu sebanyak 18,230 atau 67.94 peratus.

Selain itu sejumlah 8,469 kes (31.56 peratus) pula adalah pesakit dalam kategori satu, diikuti kategori tiga (66 kes), kategori empat (38 kes) dan kategori lima (29 kes).

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah keseluruhan 133 kes dalam kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 56.39 peratus sudah mendapatkan dua dos vaksin namun kumpulan ini berisiko kerana kemungkinan imuniti Covid-19 sudah menurun.

Sebanyak 62 kes atau 46.62 peratus membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas, 29 kes (21.80 peratus) masing-masing membabitkan individu yang sudah menerima dos penggalak dan yang belum divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

Selain itu, sejumlah 47 kes adalah pesakit yang mempunyai komorbid dan enam kes adalah ibu mengandung.

Mengenai kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah keseluruhan kes yang masih aktif di negara ini, sebanyak 261 kes berada dalam ICU iaitu 98 kes disahkan Covid-19 dengan 163 kes adalah disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Bagi kes Covid-19 dalam ICU dan memerlukan alat bantuan pernafasan, setakat ini terdapat sebanyak 139 kes iaitu 61 kes disahkan Covid-19 serta 78 kes lagi disyaki, berkemungkinan dan dalam siasatan.

Sehingga semalam sebanyak 18,459 kes sembuh dilaporkan, menjadikan sehingga kini terdapat 2,937,655 kes sudah pulih sepenuhnya daripada virus berkenaan manakala 15 kluster baharu dikesan menjadikan 500 kluster masih aktif.

Related posts

Leave a Comment