Lonjakan kes di Korea Selatan

SEOUL 19 Feb. – Korea Selatan melaporkan lebih 100,000 kes baharu Covid-19 buat hari kedua berturut-turut hari ini ketika varian Omicron yang mudah berjangkit menular dengan pantas.

Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA), sebanyak 102,211 kes baharu  dilaporkan, termasuk 102,072 jangkitan tempatan yang membawa kepada jumlah kes di Korea Selatan meningkat kepada 1,858,009.

Angka kematian akibat Covid-19 mencecah 7,354, naik 71 berbanding semalam, Jumaat. Kadar kematian pula berada pada 0.4 peratus.

Korea Selatan menyaksikan lonjakan kes Covid-19 buat beberapa minggu kebelakangan ini ketika varian Omicron menular di merata negara, dengan jumlah harian naik hampir seganda dalam masa seminggu setelah menjangkaui 50,000 kes buat pertama kali pada 10 Februari. 

Jumlah kes harian melebihi 100,000 buat pertama kali pada Jumaat, 18 Februari.

Walaupun terdapat penularan pantas virus itu, kerajaan memutuskan untuk melonggarkan sekatan tempoh berniaga bagi kafe dan restoran kepada pukul 10 malam untuk tiga minggu akan datang.

Keputusan tersebut dibuat susulan reaksi hebat daripada kedai-kedai runcit dan individu-individu bekerja sendiri yang mengadu bahawa langkah-langkah antivirus yang berlarutan itu menjejas penjualan mereka. 

Had perhimpunan sosial bagaimanapun kekal pada enam orang. 

Sekatan antivirus yang dilonggarkan sedikit akan dikuatkuasakan sehingga 13 Mac. 

Related posts

Leave a Comment