Omicron ambil alih Delta di Sarawak

KUCHING 11 Feb. – Varian Omicron kini menggantikan varian Delta secara keseluruhannya apabila jangkitan varian itu dilihat dominan di Sarawak, lapor Institut Kemahiran dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Pengarah IHCM UNIMAS Dr David Perera mendedahkan, kesemua 77 sampel kes positif pada 20 Januari hingga 6 Februari lalu dan menjalani penjujukan genom adalah varian Omicron.

“Semua sampel dikenal pasti sebagai varian membimbangkan (VOC) Omicron sekali gus 100 peratus kadar pengesanan varian itu di Sarawak,” katanya dalam laporan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Tambahnya, hasil penjujukan genom, kes-kes Omicron ini dikenal pasti di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu sementara beberapa kes import dikesan dari Selangor, Pahang serta Johor.

“Hasil sampel-sampel Omicron berkenaan, 71 sampel dikenal pasti sebagai BA.1.1, tiga sampel BA.1, sementara tiga lagi sampel BA.2 yang mempunyai kadar jangkitan tinggi dikesan di Sibu, Miri dan Kuching,” katanya.

Justeru, beliau yang juga ahli Kumpulan Penasihat Covid-19 Sarawak (SCOVAG), menasihatkan agar rakyat di negeri itu segera mendapatkan dos penggalak.

Tegasnya, kajian telah membuktikan bahawa dos penggalak adalah perlu untuk meningkatkan paras neutralisasi antibodi melindungi daripada jangkitan serius Omicron dan dimasukkan ke hospital.

Related posts

Leave a Comment