Tiada tindakan Petronas terhadap Sarawak, Petros

KUCHING 24 Sept. – Petronas tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Sarawak dan syarikat minyak dan gasnya, Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Pejabat Premier Sarawak mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan bersama selepas mesyuarat antara kerajaan Sarawak, Petronas dan Petros, bersama Premier Sarawak, Abang Johari Tun Openg di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Petros, Janin Girie dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Abu Bakar Marzuki.

“Disahkan bahawa Petronas tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sarawak dan Petros. Semua pihak menghormati dan mematuhi undang-undang Persekutuan dan negeri berhubung perkara ini,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa kerajaan Sarawak, serta Petronas dan Petros mengesahkan bahawa perbincangan mengenai pengagihan gas di Sarawak kini sedang berjalan antara mereka dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

(Foto fb UKAS)

Related posts

Leave a Comment