Kabinet belum bincang buka sempadan

TANGKAK 11 Feb. – Kabinet belum membincangkan cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membuka kembali pintu sempadan negara seawal 1 Mac ini, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata setakat ini Kementerian Kesihatan masih belum memberikan maklum balas mengenai cadangan itu kepada Kabinet untuk dinilai.

“Kita mesti seimbangkan antara nak menjaga industri pelancongan dan kesihatan rakyat, maka Kementerian Kesihatan akan melihat secara terperinci dan beri cadangan kepada Kabinet nanti apa yang patut dilakukan seterusnya.

“Setakat hari ini kita masih tutup sempadan kita… belum ada perbicangan lagi untuk buka,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri bersama Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.

Pada 8 Februari lepas Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata MPN bersetuju mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini.

Ismail Sabri berkata kerajaan setakat ini hanya membuka sempadan Malaysia-Singapura di Johor menggunakan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) sahaja.

Menurutnya kerajaan sedar dengan keluhan pengusaha industri pelancongan yang terjejas teruk akibat Covid-19 namun beliau tidak mahu kemasukan pelancong asing ke dalam negara akan meningkatkan kes dalam negara.

Related posts

Leave a Comment