Sabah catat 3,361 kes harian

KOTA KINABALU 11 Feb. – Jangkitan harian Covid-19 di Sabah melonjak kepada 3,361 kes hari ini, tertinggi setakat ini berbanding 2,969 semalam menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 266,262 kes.

Bagaimanapun 99.76 peratus atau 3,353 kes daripada 3,361 kes hari ini hanya berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, lima kes dalam Kategori 3 dan masing-masing dua serta satu kes dalam Kategori 4 dan 5.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Masidi Manjun, berkata daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi dengan 782 kes baharu hari ini, diikuti Sandakan 374 kes, Tuaran (310), Tawau (263), Penampang (254), Papar (244), Lahad Datu (152), Beaufort (123), Kota Belud (122) dan Ranau (107).

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, dalam kenyataannya berkata sebanyak 15 daerah lain mencatat kes dua angka, manakala hanya dua daerah mencatat kes satu angka, iaitu Tongod dan Kalabakan.

Kes melalui saringan bergejala kekal tinggi dengan 1,785 kes atau 53.11 peratus daripada keseluruhan jumlah jangkitan hari ini.

“Sebanyak 18 daripada 27 daerah di Sabah merekodkan kes bergejala yang lebih tinggi selain mencatat pertambahan kes baharu yang banyak,” katanya.

Menurut Masidi, sebanyak 36 kluster aktif di seluruh Sabah ketika ini, termasuk dua lagi kluster baharu yang disytihar hari ini di daerah Nabawan dan Kota Belud.

Sebanyak 26 daripada kluster ini membabitkan institusi pendidikan, enam kluster tempat kerja, dua kluster komuniti dan masing-masing satu kluster keagamaan serta kluster berisiko tinggi.

Related posts

Leave a Comment